fbpx

Sekalung Tahniah Buat Dr Mohammed Morsi – Presiden Republik Arab Mesir Yang Baru

Sekalung Tahniah Buat Dr Mohammed Morsi – Presiden Republik Arab Mesir Yang Baru

Sekalung Tahniah Buat Dr Mohammed Morsi – Presiden Republik Arab Mesir Yang Baru

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Dr Mohammed Morsi yang telah diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Republik Arab Mesir yang baru bagi mewakili Parti Parti Hizbul Hurriyah wal ‘Adalah atau Freedom and Justice Party (FJP) yang dikelola oleh sebuah gerakan Islam Ikhwanul Muslimin.

Daripada keputusan yang diumumkan pada 24 Jun 2012, beliau telah menewaskan pencabarnya dengan 51.7 % berbanding Ahmad Syafik hanya 48.2 % dalam pilihanraya demokrasi pertama dalam sejarah Mesir pasca Revolusi Mesir 25 Jan 2011 yang lalu.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dan katakanlah, “ Kebenaran telah datang dan yang batil telah lenyap.” Sungguh, yang batil itu pasti lenyap.”
( Al-‘Isra 17 : 81)

HALUAN Malaysia memanjatkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kurniaan ini dan mengharapkan dengan kepimpinan Dr Morsi akan memberikan sinaran keyakinan kepada penyebaran Syiar Islam serta membina kekuatan ummat Islam bukan hanya di Mesir dan dunia Arab sahaja bahkan di seluruh dunia. Kemenangan ini sebenarnya adalah titik penyambung kepada rantai-rantai perjuangan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW, para sahabat serta para tabiin dan ianya diteruskan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di abad ke 21 ini yang mengasaskan gerakan Ikhwanul Muslimin.

Diharapkan kemenangan Dr Morsi sebagai Presiden Mesir dalam era yang baru dapat melahirkan wajah Islam sebagai model serta contoh kepada dunia moden kini. Bukan Islam kiri atau kanan apa tah lagi “Islam Terrorisme.” Bahkan Islam dalam wajahnya yang sebenar yang ditanzilkan oleh Allah SWT.

Menggunung harapan daripada HALUAN Malaysia juga, agar titik kemenangan ini juga akan menjadi pemacu kepada perubahan dunia yang lebih harmoni, adil, aman dan diwarnai suasana Islam yang sebenar melalui pembentukan Negara Madani yang diwar-warkan sebelum ini. Di samping, ia akan mengeratkan lagi kekuatan ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam) sesama ummat Islam tanpa mengira batasan negara, warna kulit, dan bangsa.

HALUAN Malaysia berdoa, bermunajat dan memohon kepada Allah SWT , agar kemenangan ini akan menjadi petanda awal kepada kebangkitan Islam yang lebih meluas serta menjadi inspirasi kepada seluruh ummat Islam untuk terus-menerus berjuang untuk mendaulatkan sistem Allah SWT dalam kehidupan mereka secara menyeluruh.

Dr Hj Abdullah Sudin Bin Ab Rahman
Presiden HALUAN Malaysia