fbpx

Warga SK Wira Prihatin Penderitaan Di Gaza

Warga SK Wira Prihatin Penderitaan Di Gaza

Warga SK Wira Prihatin Penderitaan Di Gaza

KUANTAN, 18 Jun 2012 — Seramai 350 orang murid tahap 4 dan 5, Guru Besar, guru-guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan Wira di Jalan Panching, Kuantan mendapat pendedahan terus mengenai Masjidil Aqsa dan perjuangan rakyat Palestin dengan ceramah khas oleh HALUAN Cawangan Negeri Pahang bersempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj.

Ceramah dan tayangan video telah disampaikan oleh Tn Hj Abd Bashir b. Abd Ghani, Ketua HALUAN Palestin Cawangan Negeri Pahang yang telah turut menyertai Misi Amanah HALUAN Ke Gaza pada awal bulan Mei lalu. Program yang diadakan di dewan sekolah itu turut dihadiri oleh Guru Besar, Guru Penolong Kanan dan guru-guru lain.

Dalam ceramah beliau, Tn Hj Abd Bashir antara lain menyentuh tentang kepentingan Masjidil Aqsa dalam peristiwa Israk Mikraj, kehebatan umat Islam di Gaza mempertahankan tanahair mereka dari cengkaman Zionis Yahudi serta perkongsian pengalaman berharga beliau menyertai misi ke Gaza.

Menurut Guru Besar SK Wira, Pn. Noraziza bt Sabaruddin, sambutan memperingati peristiwa hari-hari kebesaran Islam ini adalah merupakan acara rutin tahunan sekolah namun majlis kali ini berlainan dengan sebelum ini kerana murid-murid didedahkan dengan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa secara lebih jelas melalui tayangan multimedia yang menarik. Sambutan dan minat yang ditunjukkan oleh para pelajar amat menggalakkan dan mereka begitu teruja melihat tayangan video serta paparan foto-foto yang terbaru daripada penceramah.

Di penghujung majlis, satu kutipan derma untuk rakyat Palestin turut diadakan dan murid-murid serta guru tidak melepaskan peluang untuk menderma sebagai bukti sokongan mereka kepada perjuangan rakyat Palestin. Alhamdulillah, sebanyak RM1,100.00 telah berjaya dikumpulkan untuk didermakan melalui Tabung Palestin HALUAN.

Majlis berakhir dengan bacaan doa untuk kesejahteraan umat Islam di Palestin dan penyerahan derma ikhlas murid-murid serta guru kepada tabung derma Palestin yang disampaikan sendiri oleh Pn. Noraziza bt Sabaruddin kepada Tn. Hj. Abd. Bashir Abd Ghani.

Menurut Hj Abd Bashir Abd. Ghani, beliau begitu terharu dengan sambutan murid-murid sekolah berkenaan dan mengucapkan syabas kepada Guru Besar SK Wira kerana menjadi sekolah pertama mengundang pihak HALUAN untuk berkongsi ilmu mengenai isu Palestin dan pengalaman relawan HALUAN berada di bumi barakah Palestin. Ini menunjukkan betapa prihatinnya pihak sekolah dan semoga murid-muridnya menjadi generasi penerus untuk membantu dan membela Palestin di masa akan datang.

Orang ramai yang ingin turut membantu perjuangan membebaskan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa bolehlah menderma melalui akaun Tabung Palestin HALUAN di Maybank (No Akaun 5644 9020 8528) atau Bank Islam Malaysia Berhad (No Akaun 14-023-01-003429-2).