fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz : Apakah Ramadhan Memberi Kesan Kepada Kita?

Ramadhan Bersama Huffaz : Apakah Ramadhan Memberi Kesan Kepada Kita?

Ramadhan Bersama Huffaz : Apakah Ramadhan Memberi Kesan Kepada Kita?

PETALING JAYA, 30 Julai 2012 — Kesan yang kita perolehi daripada bulan Ramadhan akan dapat kita lihat dalam kehidupan kita selepas Ramadhan nanti – apakah hidup kita sama seperti di dalam bulan Ramadhan atau sebaliknya. Jika berlaku sebaliknya, maka kita tidak terkesan oleh tarbiah Ramadhan.

Demikianlah di antara intipati tazkirah yang telah disampaikan oleh Imam Ahmad Jakmiri Ghassan kepada lebih 1,000 orang ahli jemaah solat terawih di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz di sini. Beliau yang berasal dari Damsyik, Syria merupakan salah seorang daripada huffaz yang menjayakan Program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somali sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Memulakan tazkirah beliau, Imam Ahmad Jakmiri merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak henti membantu rakyat Syria yang sedang dilanda penindasan dan peperangan oleh pemerintah sendiri. Ratusan ribu rakyat Syria kini terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran dan mengharap bantuan dan kasih sayang daripada saudara seakidah. Menurut beliau, beberapa NGO Malaysia gigih menyampaikan bantuan ikhlas rakyat Malaysia di sempadan Turki dan Jordan, termasuklah HALUAN Malaysia dan MuslimCare.

Beliau juga menyeru para hadirin supaya cuba meraih sepenuhnya tujuan utama ibadah puasa, iaitu untuk mencapai takwa kepada Allah SWT. “Sentiasalah berada di tempat yang Allah suka seperi masjid dan majlis-majlis ilmu, eratkanlah silaturrahim dan tingkatkanlah usaha menolong saudara kita dalam kesusahan, kerana Allah suka kepada mereka yang sentiasa berada di dalam kebaikan,” nasihat beliau. Beliau juga memberi ingatan supaya kita menjauhi perkara yang dibenci Allah SWT atau amalan yang menjauhkan kita daripada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berhajat kepada kita, bahkan kitalah yang sangat memerlukan Allah SWT. Kita akan mendapat keuntungan dan kebaikan jika kita melakukan ibadah khusyuk sepanjang Ramadhan,” kata beliau lagi.

Beliau turut memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa ada daripada kalangan mereka yang berpuasa tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga sahaja. “Kesan yang kita perolehi daripada bulan Ramadhan ini akan dapat kita lihat selepas Ramadhan nanti. Apakah kehidupan kita di bulan-bulan lain sama seperti kehidupan kita di dalam bulan Ramadhan? Jika tidak, maka kita sebenarnya telah melalui Ramadhan tanpa meraih apa-apa kesan. Oleh itu perlu perbaiki diri sedikit demi sedikit supaya amalan dan latihan sepanjang Ramadhan boleh menjadi pemangkin untuk kita terus memperbaiki diri di sepanjang hayat,” jelas imam muda itu.

Mengambil kesempatan Ramadhan yang mulia ini, para jemaah telah berjaya mengumpul sumbangan untuk rakyat Syria sebanyak RM1,821.55. Semoga Allah melipat gandakan ganjaran kepada semua penyumbang dan melimpahkan mereka dengan rezeki yang lebih baik.

HALUAN mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh AJK Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, terutamanya Timbalan Nazir, Ustaz Azizul bin Zakaria, yang turut meraikan tetamu dari Syria ini.

Teruskan sumbangan anda untuk membantu meringankan keperitan hidup masyarakat Islam di Syria dengan menderma melalui Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN di Maybank bernombor 5622 6350 2611.