fbpx

HALUAN Pahang Anjur Derma Darah Ramadhan

HALUAN Pahang Anjur Derma Darah Ramadhan

HALUAN Pahang Anjur Derma Darah Ramadhan

KUANTAN, 25 JULAI 2012 — Seiring dengan malam pertama solat terawih bersama imam jemputan dari Gaza, HALUAN Cawangan Pahang dengan kerjasama Masjid Saiyidina Othman telah menganjurkan program menderma darah di sini.

Usaha ini merupakan program tetap HALUAN Cawangan Pahang dengan bantuan Unit Tabung Darah Hospital Besar Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan yang diadakan pada setiap tahun untuk membantu tabung bekalan darah yang sering tidak mengcukupi di musim perayaan.

Pada tahun ini dua buah masjid telah dipilih untuk bekerjasama dengan HALUAN, iaitu Masjid Saiyidina Othman Al Affan, Bukit Rangin dan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

Menurut penyelaras program Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Cawangan Pahang, Dr Hjh Fatimah Abd. Majid, menderma darah di bulan Ramadhan di mana penderma berpuasa pada siang harinya bukanlah menjadi suatu halangan. Ini adalah kerana ianya diadakan di waktu malam setelah penderma mendapat tenaga yang secukupnya selepas berbuka puasa. “Menderma darah di bulan Ramadhan sangat penting bagi membantu Unit Tabung Darah Hospital menyediakan bekalan darah secukupnya di musim perayaan, lebih-lebih lagi darah dari kalangan umat Islam,” jelas beliau.

Malahan penyelaras program dari Unit Tabung Darah HTAA, En. Syaiful, mengakui betapa perlunya bekalan daerah disediakan walaupun di bulan Ramadhan. “Kami ucap ribuan terima kasih kepada pihak HALUAN yang membantu Unit Tabung Darah menjayakan program ini setiap tahun,” kata beliau.

Seorang penderma yang ditemui, En Baharom Osman, 60 tahun menyatakan kegembiraan beliau kerana dapat turut menderma. Bagi beliau, walaupun sudah tua tetapi kesan dari barakah puasa di bulan Ramadhan menjadikan beliau masih sihat dan mampu menderma.

Program ini telah berjaya mengumpul seramai 25 orang penderma darah dari kalangan ahli jemaah. Walaupun tidak mencapai sasaran melebihi 30 orang, pihak Unit Tabung Darah HTAA tetap berpuashati kerana masih ada golongan prihatin yang sanggup menderma darah demi membantu insan yang memerlukannya pada bulan yang mulia ini.

Sebagai menghargai sumbangan mereka, HALUAN Cawangan Pahang telah menyampaikan cenderahati penghargaan kepada setiap penderma. InsyaAllah siri kedua program menderma darah Ramadhan ini akan di adakan pada 8 Ogos 2012 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. Semoga lebih ramai lagi penderma dari kalangan pemuda yang berterawih di masjid tersebut akan menjayakan usaha ini.


Laporan oleh Unit Media, HALUAN Cawangan Pahang.