fbpx

Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih!

Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih!

Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih!

Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim

HALUAN bersyukur kepada Allah SWT kerana kemajuan yang dirasai pada hari ini merupakan anugerah yang sangat bernilai kepada rakyat Malaysia. Hari ini kita menyambut ulang tahun ke-62 kemerdekaan Malaysia, negara yang menjadi tempat tinggal dan tanah air kita. Nikmat kemerdekaan bebas daripada penjajahan merupakan nikmat yang sangat besar dan memberi erti yang sangat padu dalam proses dakwah dan tarbiah kepada masyarakat pelbagai kaum.

Nikmat kemerdekaan dan keamanan ini adalah nikmat daripada Allah SWT. Maka hendaklah kita syukurinya, bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. Iaitu Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan.” Surah Quraisy 106 : 3-4.

Melihat ke belakang, perjalanan kemerdekaan ini dibina berdasarkan sumbangan aktif rakyat berbilang kaum, agama dan latar belakang. Kepelbagaian ini menjadi tunjang kepada pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial yang sedang berkembang pesat di seluruh negara. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjangkakan pembangunan perbandaran di Malaysia akan mencecah 78 peratus pada tahun 2030 akan datang. Perhubungan darat akan membentuk jaringan pengangkutan paling aktif dan laluan udara terus berkembang menghubungkan Malaysia dengan dunia luar. Kawasan semi bandar akan muncul sebagai kawasan penempatan baru bagi memenuhi keperluan dan permintaan domestik dan antarabangsa.

Senario ini merupakan impak daripada kemerdekaan yang sedang kita kecapi dan nikmati. Kita hanya melihat pembangunan fizikal yang sedang rancak dan jarang sekali memberi perhatian kepada pembangunan akhlak dan rohani. Dalam aspek ketamadunan (madaniah), kemajuan negara melambangkan kualiti hidup rakyat yang semakin baik dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial. Namun begitu, kemajuan negara harus diiring dengan kemajuan insaniah iaitu pertumbuhan nilai-nilai agama dan tradisi bangsa yang menguatkan nadi pembangunan fizikal ini. Pengukuhan nilai-nilai ini seharusnya dipacu oleh kesepaduan visi semua pihak, khususnya kerajaan, bagi memastikan nilai-nilai ini dipelihara, dikukuhkan dan ditingkatkan supaya rakyat Malaysia dapat merasai nikmat kemerdekaan.

Firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” Surah Baqarah 2 : 222.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif mendidik masyarakat, HALUAN sedia berganding bahu dengan semua pihak termasuklah agensi-agensi kerajaan, pertubuhan NGO dan lain-lain badan untuk membina nilai-nilai pengukuh jati diri rakyat Malaysia. Cabaran-cabaran yang sedang dihadapi ketika ini seperti konflik perkauman, perendahan agama, penghinaan dalam isu-isu sensitif perlu dihadapi dengan hikmah dan bijaksana.

Bersesuaian dengan tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih! pada tahun ini, cabaran-cabaran yang muncul harus ditangani dengan sebaik mungkin supaya tidak mengganggu-gugat keharmonian sedia ada. HALUAN akan menggandakan usaha-usaha dakwah dan tarbiah dalam kerangka membina jati diri rakyat Malaysia yang lebih kuat.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-62.

Sekian, wassalamualaikumussalam wbt.

//Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, Presiden HALUAN