fbpx

HALUAN Kunjungi Kedutaan Bosnia & Herzegovina

HALUAN Kunjungi Kedutaan Bosnia & Herzegovina

HALUAN Kunjungi Kedutaan Bosnia & Herzegovina

SARAJEVO, BOSNIA-HERZEGOVINA, 6 Sept 2019 — Sebuah pasukan kemanusiaan gabungan HALUAN bersama Kolej Perindu Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan misi kunjungan ke negara ini awal bulan ini.

Setelah menempuhi penerbangan lebih 13 jam, pasukan yang diketuai oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr. Baharudin Suri selamat mendarat di Sarajevo, jam 8:10 pagi waktu tempatan.

Aktiviti pertamanya ialah melakukan kunjungan rasmi ke pejabat Duta Malaysia di Bosnia & Herzegovina bertemu dengan TYT Encik Zakri Jaafar serta Ketua Setiausaha, Puan Wan Shafawati Wan Mustapha.

Dalam pertemuan satu jam itu, TYT Zakri mengalu-alukan kehadiran pasukan misi kemanusiaan HALUAN dan UiTM itu. Beliau yang juga merupakan bekas Duta Malaysia di Jordan, telah pun mengenali HALUAN dalam pelbagai aktivitinya di sana sebelum ini.

Beliau yang merupakan Duta ke-7 di Bosnia mengatakan inilah kali pertama pasukan kemanusiaan dari Malaysia membuat kunjungan rasmi di pejabat kedutaan. Beliau menjelaskan keadaan Bosnia & Herzegovina sekarang ini yang mula membangun setelah mengalami peristiwa perang saudara semasa tahun 1992-1995.

“Malaysia di antara negara terawal yang telah membantu Bosnia dalam mengekalkan kestabilan, membangunkan semula infrastruktur serta sosio-ekonomi di sini,” ujar beliau lagi.

Walau bagaimanapun, masih banyak peranan yang Malaysia boleh lakukan termasuk oleh badan bukan kerajaan dalam membangun semula rakyat Bosnia & Herzegovina. Beliau amat gembira HALUAN memulakan langkah bantuan kemanusiaan dan berkoloborasi dengan NGO lokal IFS-EMMAUS yang merupakan salah sebuah NGO kemanusiaan yang aktif di sana.

Dr. Baharudin pula menjelaskan di antara fokus utama misi pertama ini ialah mendalami sejarah peradaban panjang Bosnia & Herzegovina, menziarahi kesan-kesan serta impak peperangan saudara 1992-1995, serta menyampaikan bantuan pendidikan dan sosio-ekonomi kepada anak-anak serta keluarga mangsa perang. HALUAN juga ingin meningkatkan lagi koloborasi kemanusiaan dengan NGO setempat serta melantik wakil untuk isu-isu kemanusiaan di wilayah Balkan.

TYT Zakri juga mengambil kesempatan memberikan kata perangsang kepada mahasiswa-mahasiswa Kolej Perindu UiTM agar mengambil peluang semasa misi ini untuk mempelajari sejarah peradaban rakyat Bosnia & Herzegovina. Tambah beliau lagi, rakyat Bosnia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama telah melalui zaman kegemilangan pemerintahan Khalifah Osmaniyyah, kemudian dijajah oleh pemerintahan komunis dan 24 tahun lalu mengharungi pula perang saudara hinggalah kini di mana mereka ingin membangun semula.

Di akhir pertemuan, TYT Zakri mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan berkenaan dalam melaksanakan aktiviti bantuan sehingga 11 September nanti dan pihak kedutaan sentiasa bersedia untuk memberikan pertolongan pada bila-bila masa yang diperlukan.

_
Laporan Dr. Baharudin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan