fbpx

“Saya Terpaksa Pulang Ke Lombok Bantu Keluarga” – Warga Indonesia

“Saya Terpaksa Pulang Ke Lombok Bantu Keluarga” – Warga Indonesia

“Saya Terpaksa Pulang Ke Lombok Bantu Keluarga” – Warga Indonesia

SEPANG, 4 September 2018 – Begitulah luahan hati seorang warga Indonesia yang bekerja di Malaysia ketika ditemui di lapangan terbang KLIA 2. Beliau yang ingin dikenali sebagai Pak Sudir sedang dalam perjalanan ke Lombok Utara untuk melihat keadaan keluarganya di sana.

Tiga orang sukarelawan HALUAN telah selamat tiba di Lombok, Indonesia. Ketika dalam penerbangan menuju ke sana, mereka dapati sangat ramai warga Indonesia yang bersama-sama menuju ke Lombok. Hampir 90% kapal terbang dipenuhi oleh mereka yang merupakan Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

Menurut Pak Sudir, kepulangan beliau ke Lombok kali ini adalah keputusan yang tiba-tiba. Beliau baru sahaja tiba di Malaysia sejak Mac lalu. Pada kebiasaannya, beliau akan pulang menziarahi keluarga di Indonesia selepas setahun lebih bekerja.

Keputusan dibuat adalah gara-gara terjadinya beberapa siri gempa bumi besar sejak 29 Julai. Menurut beliau, inilah kali pertama terjadinya gempa yang besar di Lombok dan ia berulang berlaku sebulan lamanya.

Katanya, “selama saya hidup dalam umur 40 tahun lebih, inilah kali pertama berlakunya gempa bumi sebesar ini di sini. Dan juga berlaku paling lama serta berulang kali. Sebelum ini ada berlaku gempa juga, tetapi hanya sekali gegaran dan kemudian terus hilang.”

Walau bagaimanapun, beliau berasa bersyukur kerana rumahnya yang berada di Lombok Utara tidak hancur lebur seperti rumah-rumah lainnya yang lebih hampir dengan pusat gegaran.

Menurut Pak Sudir lagi, “saya pulang ini untuk memberi sokongan semangat kepada keluarga besar saya. Kerana mereka kini mengalami trauma yang teruk akibat berlakunya gempa bumi yang besar ini.”

Sukarelawan HALUAN akan mula menjalankan gerak kerja tinjauan keadaan dan keperluan di Lombok. Mereka juga akan memikirkan projek dan aktiviti yang berkesan untuk jangka masa pendek dan panjang.


Laporan Izzat Ibrahim, Sukarelawan HALUAN Misi Kemanusiaan Lombok