fbpx

Trauma Gempa Buat Warga Lombok Takut

Trauma Gempa Buat Warga Lombok Takut

Trauma Gempa Buat Warga Lombok Takut

LOMBOK, INDONESIA, 5 Sept 2018 – Tanah lapang seperti di padang bola sepak, perkarangan bangunan kerajaan, tanah sawah padi dan kebun- kebun menjadi tapak khemah mangsa gempabumi di sini semasa tinjauan hari pertama pasukan misi Kemanusiaan HALUAN.

Walaupun daerah Mataram tidak berlaku kerosakan yang teruk, di kawasan ini juga terdapat berbilang-bilang khemah yang dihuni oleh warga Indonesia.

Gegaran berulang yang melanda Lombok sebulan lebih lamanya meninggalkan kesan trauma terhadap penduduk hinggakan mereka lebih rela untuk duduk di khemah berbanding rumah sendiri walaupun ia masih dalam keadaan baik.

Menurut Pak Masykur yang kami temui berada di khemah di bandar Mataram, “kami masih tidak berani untuk pulang ke rumah. Berasa was-was untuk masuk kerana takut akan berlaku lagi gegaran dan rumah akan roboh. Keluarga saya tidak ada yang tercedera. Cuma mentalnya aja sudah pusing.

Ketika hari pertama berlakunya gegaran 29 Julai lepas, saya terus berlari keluar dari rumah. Anak kecil saya juga terus berjalan ke tempat ini berseorangan.”

Pak Masykur juga ada menyebut bahawa beliau dan ahli keluarganya pulang ke rumah hanya untuk mandi, masak sedikit dan melihat rumah. Selepas itu mereka akan kembali duduk di khemah untuk menjalankan aktiviti lain sepanjang malam dan siang.

Sebelum beredar, sukarelawan kami memberikan kata-kata semangat serta doa semoga Allah amankan bumi Lombok ini.

Menurut ketua pasukan pertama Misi HALUAN Lombok, Encik Jamil Muda, pengalaman beliau ketika isu gempa bumi di Padang dan Lombok sebelum ini akan meninggalkan kesan trauma sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pulih.

Pasukan misi kemanusiaan HALUAN juga menemui sekumpulan mahasiswa Indonesia, Korps Respon Cepat (KRC) yang fokus mereka adalah untuk memberikan rawatan pemulihan trauma terhadap kanak-kanak.

“Kami telah berjaya menubuhkan dua buah pos sekolah darurat untuk kanak-kanak. Fokus utama kami adalah untuk memberikan rawatan pemulihan trauma kepada mereka. Sekarang ini, kami perlukan sumbangan kewangan untuk biayai operasi. Ada satu NGO Kristian yang menjalankan aktiviti yang sama dengan kami. Sekiranya cepat penyumbang salurkan kewangan kepada kami, kita mampu bergerak lebih pantas dan lebih luas lagi,” kata mereka kepada wartawan HALUAN di lokasi.

HALUAN mengalukan sumbangan doa dan derma daripada rakyat Malaysia agar kesemua mangsa segera sembuh daripada trauma yang dihadapi serta mempercepatkan pemulihan fizikal dan makanan asasi di pusat bencana gempabumi Lombok ini.

Para penderma budiman bolehlah memberikan derma melalui :

Peduli Lombok

ATAU

Salurkan sumbangan anda ke akaun:

Nama Akaun: TABUNG KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN HALUAN
Nama Bank: Maybank Islamik
No. Akaun: 562263502611

Whatsapp [Nama, #Lombok & resit] ke http://www.wasap.my/60103005141


Laporan Izzat Ibrahim, Sukarelawan HALUAN Misi Kemanusiaan Lombok