fbpx

Korban Sri Lanka Disyukuri Rakyat Miskin

Korban Sri Lanka Disyukuri Rakyat Miskin

Korban Sri Lanka Disyukuri Rakyat Miskin

MUTUR, SRI LANKA, 23 Ogos 2018 – Ibadah Korban HALUAN 1439H di Sri Lanka berjaya dilaksanakan dengan baik dengan terjalinnya kerjasama dengan dua buah NGO di sana iaitu Serendib Foundation for Relief and Development (SFRD) dan People Development Forum (PDF).

Untuk mewakili para penyumbang korban dari Malaysia, HALUAN menghantar tiga orang sukarelawannya iaitu Ust Mohd Azizi Sulaiman, Encik Shamjuddin Romani dan Encik Muhammad ‘Isam Fikri Ismail.

Acara korban itu berjalan selama dua hari bermula pada hari raya pertama dan kedua dengan jumlah korban sebanyak 38 ekor lembu dan kerbau. Pengurusan program yang sangat rapi oleh SFRD dan PDF telah melancarkan lagi program ini. Ia bermula daripada proses pemilihan lembu dan kerbau sehingga proses pengagihan daging korban kepada penduduk muslim di kawasan yang terpilih iaitu Puttalam, Kinniya dan Mutur.

Aktiviti penyembelihan telah bermula pada jam 11.00 pagi waktu tempatan di Puttalam selepas solat sunat raya Aidiladha dan berakhir pada jam 12.00 tengahari. Kerjasama yang baik telah diberikan oleh penduduk tempatan. Operasi penyembelihan 10 ekor lembu telah berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Pengagihan daging telah dibuat pada jam 3.00 petang waktu tempatan di kawasan masjid yang berhampiran. Para penerima telah dipilih lebih awal melalui pembahagian kupon kepada penduduk yang fakir dan miskin.

Pada hari kedua, aktiviti penyembelihan telah dilakukan seawal jam 8.45 pagi di Kinniya iaitu sebanyak lapan ekor kerbau. Kemudian aktiviti diteruskan di Mutur pada jam 10.10 pagi yang melibatkan 20 ekor lembu. Sukarelawan HALUAN dari Malaysia memastikan aktiviti penyembelihan berjalan dengan lancar dan teratur tanpa sebarang masalah di kesemua lokasi demi melunaskan hajat penyumbang tanahair.

Daging korban telah diagihkan kepada para penduduk tempatan yang terpilih di Kinniya dan Mutur. Kegembiraan jelas terpampang di wajah mereka yang telah menerima daging korban yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia melalui HALUAN. Sumbangan daripada para peserta korban ini telah menambahkan lagi rasa kasih sayang sesama muslim walaupun berbeza bangsa dan negara. Penerbangan dari Malaysia ke Sri Lanka mengambil masa hampir empat jam.

Pelaksanaan ibadah korban di Sri Lanka ini telah berjalan dengan sangat lancar dalam cuaca yang amat baik serta kerjasama cemerlang daripada petugas dan penduduk tempatan. Pihak sukarelawan HALUAN Sri Lanka mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para peserta korban dari Malaysia yang telah mengambil bahagian pada tahun ini.


Laporan Muhammad ‘Isam Fikri Ismail

Aktiviti korban di Mutur
Aktiviti korban di Puttalam
8 ekor kerbau berjaya disembelih di Kinniya
Penyerahan daging korban kepada penduduk di Kinniya
Aktiviti melapah di Mutur
Penyerahan daging korban kepada penduduk di Puttalam