fbpx

Program Ibadah Korban Rohingya Berjalan Lancar

Program Ibadah Korban Rohingya Berjalan Lancar

Program Ibadah Korban Rohingya Berjalan Lancar

COX’S BAZAR, BANGLADESH, 23 Ogos 2018 – Program Ibadah Korban HALUAN 1439H untuk pelarian Rohingya telah berjaya disempurnakan dengan baik pada hari pertama.

Program khas untuk para pelarian ini adalah merupakan program tahun kedua setelah bermula pada tahun lepas. Sebanyak 20 ekor lembu telah disembelih di Nayapara bersebelahan kem pelarian dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Program ini telah mendapat bantuan yang sangat baik daripada wakil urusetia HALUAN di sini yang diketuai oleh Ustaz Saifullah Al-Hafiz. Manakala pihak HALUAN diwakili oleh Encik Abd Bashir Abd Ghani, Ketua Unit Rohingya Biro Misi Kemanusiaan HALUAN dan Encik Mohd Nasri Yahya, sukarelawan HALUAN.

Program bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan selepas selesai solat sunat Aidiladha dan berakhir penyembelihan jam 12.00 tengahari. Aktiviti penyembelihan telah mendapat kerjasama yang sangat baik daripada petugas dan penduduk tempatan yang telah bertungkus-lumus untuk menjatuhkan lembu sebanyak 20 ekor tanpa sebarang masalah.

Pengagihan awal daging bermula selepas waktu zohor di kawasan tertutup yang dikawal dengan rapi bagi mengelakkan kekecohan. Penerima telah dipilih awal melalui pembahagian kupon dan sebanyak 800 orang keluarga telah menerima daging yang diagihkan dengan kadar 1.5 kilogram satu keluarga.

Agihan juga di buat kepada penduduk miskin di kampung berhampiran dan tempat pengajian tahfiz Al-Quran. Mereka sangat teruja dan sabar menanti waktu pengagihan dan jelas terbayang kegembiraan di wajah mereka setelah menerima daging korban.

Inilah saat kegembiraan bagi wakil HALUAN kerana penerima daging adalah orang yang benar-benar fakir miskin dan sangat memerlukan makanan. Jumlah 20 ekor lembu bukanlah banyak jika dibandingkan dengan bilangan pelarian yang begitu ramai serta miskin dan dhaif di kem pelarian Rohingya di sini, namun usaha untuk menggembirakan mereka sempena hari raya qurban ini dapat juga dirasai oleh mereka.

Pihak wakil HALUAN sangat berpuashati dengan perlaksanaan ibadah korban pada hari pertama untuk Rohingya kerana berjalan lancar dengan cuaca yang sangat baik dan kerjasama padu dari petugas, penduduk tempatan dan pelarian. Terima kasih kami kepada peserta korban dari Malaysia yang telah mengambil bahagian pada tahun ini.


Laporan Abd Bashir Abd Ghani