fbpx

Santapan Rohani di AGM KKH 2011

Santapan Rohani di AGM KKH 2011

Santapan Rohani di AGM KKH 2011

Kangar, 4 Julai 2011 — Lebih 90 ahli Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dan HALUANSiswa Health Sciences (HS2) bermesyuarat di sini pada 2-3 Julai sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 di samping menyantap hidangan rohani daripada para as-zatizah berpengalaman.


Mesyuarat yang disertai buat pertama kali oleh HS2 itu disulami dengan suntikan semangat untuk terus berjuang meningkatkan kualiti sebagai profesional Muslim oleh para ustaz dan profesional yang memperjelaskan tajuk-tajuk seperti pengurusan organisasi, fiqh muamalat, amal jama’ie dan menyelusuri sejarah HALUAN.

Dianggap sebagai mesyuarat agung yang paling dinamik setakat ini dengan gabungan deeniyah dan pengurusan serta kehadiran paling ramai, Pengerusi KKH Dr. Wan Muhaizan Wan Mustaffa berpuashati dengan penyertaan dan perbahasan yang berlangsung sepanjang mesyuarat tersebut.

Sebagai penambahbaikan, terdapat perbincangan khusus untuk memperkasakan KKH di peringkat institusi pengajian tinggi. Ini termasuklah mempersiapkan graduan muda perubatan agar terus mapan bilamana menghadapi dua tahun latihan sebagai House Officer. Juga diperbincangkan ialah mempromosikan, meramaikan dan memantau kemasukan ahli KKH di peringkat sarjana perubatan dan bidang-bidang berkaitan. Tidak kurang pentingnya ialah peranan yang semakin meningkat dimainkan oleh jurusan paramedik seperti ahli farmasis, jururawat, pengimejan diagnostik, makmal perubatan, jurupulih anggota, pembantu perubatan, kesihatan persekitaran, dan sebagainya.

“Pada mesyuarat kali ini, kita menubuhkan Unit Paramedik secara rasminya sebagai sayap penting dalam KKH yang akan bingkas membantu pada setiap khidmat masyarakat dan misi bencana, bergandingan dengan para doktor selaku perawat barisan hadapan. Kami juga ingin mempergiatkan aktiviti di peringkat sekolah melalui aktiviti Kelab Kesihatan Remaja dengan kurikulumnya tersendiri yang boleh diperkembangkan ke sekolah-sekolah menengah yang berminat,” ujar beliau.

Untuk itu, Dr Wan Muhaizan menekankan kepada ahli agar berusaha ke arah profesionalisme dalam gerakkerja KKH di mana setiap pemegang jawatan yang baru dilantik disarankan agar memperkemaskan jentera kerja masing-masing dengan membina track rekod yang baik yang boleh diteruskan oleh generasi muda KKH selepas itu.

Dr Wan Muhaizan juga mengucapkan syukur di atas kerjasama yang telah sedia terjalin dengan beberapa kementerian dan jabatan kerajaan di mana beberapa buah geran perkhidmatan telah diperolehi dengan projek-projek yang memanfaatkan masyarakat di Selangor, Sabah, Kelantan dan beberapa buah negeri lain.