fbpx

KKH Bantu FORCE Dengan Modul Teras Relawan

KKH Bantu FORCE Dengan Modul Teras Relawan

KKH Bantu FORCE Dengan Modul Teras Relawan

Puncak Alam, 1 Julai 2011 —  Tiga modul teras keperluan Persatuan Sukarelawan Bencana dan Kemanusiaan (FORCE) UiTM kampus Puncak Alam telah berjaya disempurnakan oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) melalui kerjasama erat yang terjalin sejak hampir dua tahun yang lalu.


Modul-modul pemantapan aqidah, volunteer camp dan perubatan misi bencana telah dijalankan secara sistematik membolehkan lebih 50 orang kepimpinan tertinggi FORCE didedahkan kepada persediaan minda dan fizikal bagi menghadapi sebarang bencana alam yang berlaku di dalam atau luar negara.

KKH dijemput membantu persatuan tersebut memandangkan pengalaman kelab tersebut yang luas di bidang perubatan dan kesihatan di kancah bencana. Latihan bermula dengan 12 siri kuliah pemantapan aqidah yang disempurnakan oleh barisan ustaz-ustaz muda HALUAN dari pelbagai institusi pembelajaran. Kandungan siri kuliah maghrib aqidah itu diolah bagi membolehkan pimpinan FORCE menyelusuri kaedah terbaik menyantuni mangsa-mangsa tragedi yang mungkin mengalami trauma, kesedihan ataupun kekesalan berpanjangan akibat bencana ujian Allah SWT.

Modul volunteer camp pula dilaksanakan dengan kerjasama Biro Sukan dan Rekreasi HALUAN yang telah membawa 45 pelatih terpilih ke kem latihan di Kuala Kangsar, Perak. Pelatih didedahkan kepada aspek-aspek survival, pembinaan kekuatan mental dan fizikal serta jalinan berpasukan yang mantap. Menurut Setiausaha Kehormat KKH, Dr Ahmad Zabidin Zakaria, pendedahan seperti itu perlu untuk membina kekuatan mental pelatih serta membina disiplin dan ukhuwah yang tinggi.

‘Dalam bersukarela membantu mangsa tragedi, sikap yang betul perlu dipupuk daripada awal. Asasnya adalah hubungan hati yang kuat kepada Tuhan dan pemberian bantuan berasaskan kasih-sayang yang tulen kepada mangsa. Menjadi relawan bukan sekadar mengisi beg dan bergerak; hati itu yang kena diproses terlebih dahulu. Ini merupakan formula kejayaan kami yang kami sanggup berkongsi dengan sesiapa saja yang mahu, termasuklah FORCE,” kata beliau minggu lepas setelah tamatnya modul kesihatan.

Modul kesihatan KKH merangkumi tajuk seperti disaster medicine, farmasi di misi bencana, pengendalian trauma, serta persiapan minda dan fizikal untuk relawan bencana. Peserta diajar mengenai jenis-jenis bencana, pengurusan bantuan sukarelawan, bantuan logistik, kaedah ubat-ubatan misi, serta mempersiapkan diri sepenuhnya sebagai relawan terlatih.

“Ini kali pertama KKH berkongsi modul dalaman kami dengan pihak luar. Kami telah menyelusuri pelbagai misi dalam hingga ke luar negara termasuklah ke kem pelarían Palestin. Perkongsian bijak dengan pihak UiTM ini adalah kerana kami prihatin dengan keikhlasan serta hajat para pelajar di sini. Kami dapati para belia di kampus ini mempunyai aspirasi yang sangat mulia kerana ingin meyantuni masyarakat yang terhimpit dek bencana. Secara amnya modul-modul ini meningkatkan rasa tawaduk di dalam hati setiap pelatih,” tambah Dr Ahmad Zabidin, seorang pakar psikaitri.

Di dalam modul kesihatan tersebut, tajuk disaster medicine telah dibentangkan oleh Dr Roniyuzam Abdul Malek, pengarah hospital Tanjung Karang, Selangor. Tajuk pengendalian trauma di kancah bencana telah dibentangkan oleh pakar psikaitri Dr Ahmad Zabidin dari Hospital Kelang, Selangor. Farmasis kanan Puan Kamarunnesa Mokhtar daripada Hospital Putrajaya telah membentangkan kertaskerja bertajuk ubat-ubatan di medan bencana manakala tajuk persiapan minda dan fizikal untuk relawan telah dibentangkan oleh Encik Yusman Nawazir.

KKH juga menjemput pasukan Basic Life Saving (BLS) dari Cyberjaya University College of Medical Sciences untuk mengajar kaedah-kaedah penyelamatan mangsa yang mengalami pelbagai jenis kecederaan. Pelatih amat teruja dengan peluang latihan yang diberikan itu.