fbpx

Salam Perantauan dari Bumi Shamrock

Salam Perantauan dari Bumi Shamrock

Salam Perantauan dari Bumi Shamrock

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, saya doakan para pembaca sentiasa dalam peliharaan Allah SWT. Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT kerana memberi kesempatan kepada saya untuk mencoret sedikit perkongsian sepanjang jelajah ilmu dan tarbiah saya di negara orang.

Sebuah negara yang jaraknya lebih kurang 13 jam perjalanan dengan kapal terbang dan kurang lapan jam daripada waktu di Malaysia, di sinilah saya belajar berdikari dalam erti kata yang sebenar. Republic of Ireland, pilihan Allah buat saya.

Dublin, ibu kota Ireland adalah sebuah bandar yang kecil tetapi sibuk dengan pelbagai urusan masyarakatnya. Di sinilah juga terletaknya 3 buah universiti yang menempatkan ramai pelajar perubatan Malaysia iaitu Royal College of Surgeons in Ireland (teratak ilmu saya), University College Dublin dan Trinity College of Dublin. Ireland dan United Kingdom dipisahkan oleh Laut Irish, sama seperti Timur dan Barat Malaysia yang dipisahkan oleh Laut China Selatan. Maka tidak hairanlah jika terdapat beberapa persamaan di antara kedua-dua negara ini. Ireland mempunyai bahasa ibundanya yang tersendiri iaitu bahasa Irish Gaelic, namun ia tercatat di antara negara yang menggunakan bahasa ibunda mereka hanya di papan tanda! Bahasa Inggeris adalah bahasa utama mereka dalam komunikasi seharian.

Oleh kerana saya tinggal di Dublin, maka latar masyarakat dominan di sini pastinya golongan akademik dan profesional. Kebanyakan daripada mereka menganut agama Kristian, dan terdapat juga golongan yang tidak mempercayai agama di sini. Hmm, rasanya nak cerita secara keseluruhan keadaan di Dublin pasti panjang surat ini jadinya.

Ini Islam, Itu Bukan Islam

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Islam itu bermula dalam keadaan asing(ghareeb) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu”
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini sentiasa tersemat dalam minda saya. Berada di sebuah negara barat semestinya keadaan persekitaran sudah cukup menampakkan bahawa seorang Muslim itu asing (berbeza) daripada orang kebanyakan. Menjadi golongan minority banyak mengajar saya erti menjadi seorang Muslim yang sebenar. When you say ‘I’m proud to be a Muslim’, Allah will test on how far you would prove the statement. Memakai hijab sudah cukup untuk melihatkan pada umum bahawa saya berbeza dengan mereka. Diperhatikan ketika berwuduk dan hendak solat adalah suatu kebiasaan, namun semestinya ketika saya masih baru di sini wujud sedikit perasaan bimbang diapa-apakan apabila ada mata yang memandang.

Daripada sistem moral dan human right yang mereka amalkan, saya dapati itulah juga yang Islam ajar kepada kita. Golongan remaja walaupun memakai pakaian yang secara luarannya kita ragui, tiba-tiba merekalah orang pertama yang akan membantu si buta melintas jalan. Nilai hormat menghormati sesama individu benar-benar menjadi amalan mereka, tanpa mengira kaum dan agama. Segala perkara baik yang saya lihat pada mereka, mengingatkan saya pada Sheikh Muhammad Abduh yang pernah menyatakan bahawa beliau melihat Islam di Eropah, tetapi tidak melihat Muslim. Ya, apa yang Islam ajar dan apa yang bukan dari Islam amat jelas di sini. Pandangan saya, hal ini benar kerana keadaan kami yang jauh daripada pengaruh budaya Melayu di Malaysia yang kadang-kala bercampur antara ajaran Islam dan ikut-ikutan daripada agama lain.

Dakwah kepada non-Muslim

“Hey, don’t you ever want to wear skirts like those girls on the street?”

“How does it feel celebrating something without alcohol?”

“If God exists, why there are still poverty, crime and oppression in this world?”

Dan lain-lain lagi soalan mereka. Ini adalah suatu pengalaman yang akan dialami oleh semua Muslim yang menjadi minoriti di sesuatu tempat, lebih-lebih lagi kepada para Muslimah kerana hijab telah menjelaskan lagi keIslamannya. Satu perkara penting yang saya belajar di sini ialah jangan takut kepada soalan mereka. Biarpun soalan itu tidak dapat dijawab dengan sempurna kerana kebatasan ilmu terutamanya mengenai isu fiqah, saya mesti mencuba untuk mengarahkan perbincangan supaya perkara paling asas dalam Islam iaitu mempercayai kewujudan Tuhan dan mengakui bahawa Dia hanya Satu dapat disampaikan kepada mereka. Ini yang lebih utama, daripada berpeluh-peluh cuba mencari jawapan kepada soalan mereka yang kebanyakannya melihat Islam sebagai agama yang menghalang kebebasan.

Culture shock?

Jujur saya katakan: tiada culture shock di bumi Dublin. Bilangan rakyat Malaysia yang sangat ramai di sini menyebabkan saya terasa seperti berada di negara sendiri. Ke mana-mana sahaja pasti terserempak dengan orang Melayu Malaysia. Bayangkan di kelas saya sahaja : hampir 1/3 daripadanya adalah Malaysian!

Keperluan untuk cemerlang

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin berkongsi nasihat murabbi saya ketika baru menjejakkan kaki di sini: Pelajar Muslim perlu cemerlang ketika di perantauan. Melihat kepada dunia sekarang yang menjadikan negara Barat sebagai tempai rujukan, kita sebagai Muslim perlu bina kembali kegemilangan yang pernah kita kecapi suatu ketika dahulu. Kitalah perintis kepada kebanyakan ilmu di dunia, maka kita jugalah yang selayaknya mewarisi ilmu tersebut. Ya, memang terasa perbezaan antara rakan-rakan yang berasal daripada negara membangun (developed countries) dan daripada negara sedang membangun (developing countries) yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Mereka merasa lebih tinggi dan maju daripada orang lain, hingga agama pun diketepikan kerana dianggap punca kepada kemunduran. Kita perlu bina kembali kekuatan ilmuwan Islam terdahulu agar Islam kembali menjadi tempat rujuk dan pilihan kepada setiap masalah yang wujud di zaman ini. Kita punya Allah, dan kita hanya meminta kekuatan daripada Allah.

Moga Allah memelihara hati-hati kita supaya kekal istiqamah di jalanNya. Moga perkongsian ini memberi manfaat walaupun sedikit kepada yang membacanya. Allahu a’lam.


Yang masih bertatih,
Huda Mansor.
Tahun Tiga Perubatan,
Royal College of Surgeons in Ireland-Penang Medical College.