fbpx

Bowling Persahabatan Meningkatkan Ukhuwah

Bowling Persahabatan Meningkatkan Ukhuwah

Bowling Persahabatan Meningkatkan Ukhuwah

JITRA, 20 Mac 2012 – Seorang yang bijak akan menggunakan semua kesempatan yang ada di sekelilingnya untuk manfaat yang lebih besar. Kesempatan ahli-ahli Kelab Siswa HALUAN (HALUAN Siswa) di sekitar Alor Setar untuk menganjurkan satu perlawanan bowling persahabatan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan ukhuwah di samping membuka ruang aktiviti riadhah alternatif yang dapat menjaga kesihatan tubuh badan.

Ahli-ahli HALUAN Siswa dari Kolej Universiti Insaniah, Institut Perguruan Darul Aman, dan Universiti Kuala Lumpur sama-sama menjayakan program selama 2 jam itu bagi melahirkan suasana berinteraksi dan beriadhah secara santai dan menghiburkan. Suasana begini sudah tentu memberi peluang untuk setiap ahli berkenalan dengan lebih dekat, berkongsi rasa hati dan mengisi masa dengan lebih berfaedah dan terancang.

“Biasanya orang melihat program seperti ini agak melalaikan dan tidak baik. Namun AlhamduliLlah inilah ruang-ruang yang ada bagi anak-anak muda untuk berinteraksi secara informal, sambil berhibur dan tegur-menegur. Badan kita pun oleh hilangkan lengoh akibat seharian belajar di kampus!” kata En Fadhli Mohd Diah, penganjur program ringkas ini yang juga merupakan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM,) Sintok.

Di akhir program ini, semua mereka yang terlibat mengambil kesempatan untuk mendengar nasihat tentang pentingnya meningkatkah ukhuwah yang baik. Mereka juga telah mengambil iktibar daripada petikan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas.”

Semoga program santai yang dapat menarik anak-anak muda seperti ini dapat dipertingkatkan lagi. Apalagi kalau ianya dibuat secara terancang dan memenuhi kehendak syarak. Diharap semua mereka akan lebih bersemangat untuk mencapai kejayaan apabila pulang ke kampus nanti!


Laporan oleh Mohamad Rihaz bin Abdul Razak, HALUANSiswa UUM