fbpx

Siswi HALUAN Menang Anugerah Terbaik di Mesir

Siswi HALUAN Menang Anugerah Terbaik di Mesir

Siswi HALUAN Menang Anugerah Terbaik di Mesir

TANTA, MESIR 21 Mac 2012 – Seorang pelajar Malaysia telah menerima hadiah kajian terbaik daripada Jabatan Penyakit Tropikal dan Jangkitan (Tropical Disease and Infection Department) Universiti Tanta, Mesir dalam satu majlis penghargaan 13 Mac yang lalu.

Nurulhusna Ahmad Sani, pelajar tahun akhir jurusan Perubatan Am, adalah satu-satunya pelajar Malaysia yang menerima hadiah penghargaan itu bersama hampir 20 orang lagi pelajar Mesir yang turut meraih kemenangan kajian terbaik.

Nurulhusna yang berasal dari Baling, Kedah ketika mengulas kejayaannya itu berkata beliau langsung tidak menjangkakan kajiannya yang bertajuk AIDS-related Opportunistic Infections yang pada asalnya adalah tugasan akademik yang diberikan oleh seorang Pembantu Profesor kepada beliau tahun lepas akan dinilai oleh beberapa orang profesor dan pakar dalam bidang Jangkitan dan Penyakit Tropikal.

Kajiannya itu kemudiannya disaring untuk kualiti penyelidikan dan rumusan sebelum dipilih sebagai kertaskerja yang terbaik daripada hampir 300 kajian di dalam pelbagai topik.

Seramai 15 pelajar memenangi hadiah terbaik termasuklah kajian secara berkumpulan. Jumlah kertas kajian terbaik adalah sebanyak enam tajuk semuanya. Daripada itu, satu tajuk telah dipilih untuk dibentangkan semasa konferens tahunan University Tanta iaitu Incidence & Risk Factors of HCC in Egypt berdasarkan kepentingan besar tajuk tersebut.

Majlis anugerah itu juga dihadiri oleh Prof. Dr. Usamah Negm, Ketua Jabatan Penyakit Tropikal dan Jangkitan. Beliau melahirkan rasa bangga dan begitu terharu dengan kesungguhan para pelajar sarjana muda dalam melaksanakan kajian masing-masing.

Tugasan kajian ini dilaksanakan dalam kategori berkumpulan dan individu dalam rangka melatih dan mengasah minat pelajar sarjana muda untuk terus berkecimpung dalam bidang kajian dan pembangunan (Research & Development) terutamanya selepas graduasi, kemudian meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bak kata pepatah Melayu kita.

Menurut Dr. Esam ElHalaby, Ketua Bahagian Kawalan Kualiti Akademik Universiti Tanta, di antara kriteria pemilihan kajian terbaik ialah isi dan idea yang tersusun, persembahan dan pendokumentasian yang teratur serta sumber rujukan yang berguna dan dipercayai. Beliau mendoakan agar semua penerima hadiah kajian terbaik kali ini berjaya menjadi ulama’ kerana pada hemat beliau, ulama’ bukan sahaja bermaksud orang alim dalam bidang agama, namun saintis dan pengkaji juga termasuk dalam kategori ini. Beliau menambah dengan membawa Hadith Nabi SAW yang bermaksud: Sebaik-baik amalan adalah yang sedikit tetapi berterusan.

Semoga kejayaan kecil oleh siswi HALUAN Malaysia yang juga ahli HALUANSiswa Health Sciences (HS2) ini menjadi batu loncatan untuk kita kekal teguh dan berterusan melakukan amal soleh dengan bersungguh-sungguh kerana Allah. Benarlah kalam Allah dalam surah At-Talaq ayat 2 – 3 yang bermaksud: Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan baginya jalan keluar. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sungguh Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.


Laporan oleh Unit Media HS2 (Egypt Chapter).