fbpx

Remaja Sekolah Meriahkan KMK Kelantan

Remaja Sekolah Meriahkan KMK Kelantan

Remaja Sekolah Meriahkan KMK Kelantan

MACHANG, 29 Nov 2014 – Lebih 60 orang peserta daripada kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh Kelantan amat gembira setelah menyertai Kem Minda Kreatif (KMK) anjuran Kelab Remaja HALUAN Kelantan di Kompleks Perhutanan Bukit Bakar di sini. Kem yang bertemakan “Remaja Rabbani, Impian Syurga” ini bertujuan menerapkan kefahaman akidah, ibadah dan akhlak di kalangan remaja sambil mengembangkan daya kreativiti mereka.

Untuk menambat hati peserta, Program dimulakan dengan sesi Heart Setting bertajuk “Nokhtah Bidayah Dalam Amal” oleh Cikgu Mahmud Jaafar. Selepas itu, Pengarah program Encik Muhamad Zubairi Zakaria memberi taklimat aktiviti ice breaking dan team building. Pada sebelah malam, slot pertama bermula dengan tajuk “Remaja Rabbani Pewaris Rasullullah” yang disampaikan oleh Ust Abdul Rahhim Wahab. Beliau menceritakan tentang 10 ciri manusia yang dinaungi syurga dan antara pengisian yang menjadi sebutan para peserta selepas itu adalah memulakan segala sesuatu dengan basmallah.

Hari kedua KMK ini dihangatkan lagi dengan Creative Checkpoint di mana pelbagai aktiviti yang menguji kreativiti berlangsung. Melalui Creative Checkpoint ini juga semangat ukhwah yang baru berputik di antara peserta menjadi semakin subur. KMK benar-benar menguji sifat kreativiti dan berjaya mencungkil bakat peserta dengan adanya persembahan daripada peserta iaitu Malam Bintang KMK.

Pada hari ketiga, para peserta ditayangkan dengan beberapa video dalam slot Skrin Pawagam. Slot ini membuka fikiran para peserta betapa dahsyatnya penduduk bumi pada zaman kini dan terdapat juga video yang memberi pengajaran nilai murni.

KMK Kelantan melabuhkan tirainya dengan ucapan perasmian oleh Encik Kamaruddin Deraman selaku Ketua Biro Tarbiyah HALUAN Kelantan. Beliau menyatakan hasrat yang begitu besar agar semua peserta melakukan perubahan diri dan merindui kem seperti ini. Beliau juga turut menyeru para peserta agar berusaha menjadi pemuda dan pemudi yang dirindui syurga bertepatan dengan tema kem minda kreatif pada kali ini.

Ketika majlis perasmian penutupan, adik Muhd Naqib Nasir, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal selaku wakil peserta berkata beliau sangat bersyukur kerana berpeluang menyertai kem ini buat kali pertama dan menyatakan hasrat untuk melakukan perubahan diri. Beliau juga menyatakan di kem ini beliau berpeluang untuk solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu buat kali pertama dan akan cuba untuk berterusan dalam mengamalkannya. InsyaALLAH.

Laporan oleh Nurul Zati Amani Mahmud, Setiausaha KMK Kelantan.