fbpx

Pasukan Kedua Relawan Berlepas ke Lubnan dan Sempadan Turki

Pasukan Kedua Relawan Berlepas ke Lubnan dan Sempadan Turki

Pasukan Kedua Relawan Berlepas ke Lubnan dan Sempadan Turki

BANDAR BARU BANGI, 9 Disember 2014 — Pasukan kedua Misi Bantuan Musim Sejuk Gaza-Syria telah berlepas ke sempadan Turki dan Lubnan semalam. Pasukan misi kali ini disertai oleh seorang doktor, tiga relawan dan dua petugas media tiba di Istanbul pada pukul 11:00 pagi waktu Istanbul.

Perlepasan pasukan relawan dilengkapkan dengan bacaan doa oleh Ustaz Umar Aiman, memohon keselamatan dan kekuatan dalam menyampaikan amanah yang mereka tanggung, dan juga keselamatan serta keberkatan ke atas keluarga yang mereka tinggalkan buat sementara.

Suasana sedih perpisahan menjadi agak syahdu apabila adik Muhammad Ameer Ajmal Ahmad Shahbuddin menyerahkan sepasang kasut musim sejuk kepada ketua misi, Dr Mohd Arbaai. “Pakcik, ini winter boot saya, minta pakcik berikan kepada kawan saya yang tidak ada kasut di kem pelarian,” kata Muhammad Ameer Ajmal.

Ternyata kasut tersebut masih baharu dan belum dipakai, dibeli khusus sebagai hadiah untuk seorang “kawan” beliau yang menderita kesejukan, sungguhpun beliau tidak pernah mengenali kawannya itu.

Relawan HALUAN dijangka akan bekerjasama dengan NGO Turki iaitu IHH Humanitarian Relief Foundation. Manakala agihan bantuan di Lubnan akan dibuat dengan kerjasama NGO Al-Sarraa Foundation.

Bentuk bantuan yang disampaikan termasuklah pakaian sejuk, selimut, tilam, alat pemanas dan bantuan mendapatkan tempat tinggal yang sesuai. Keperluan asas lain yang akan diagihkan adalan bekalan susu bayi, paket makanan, air bersih, ubat-ubatan dan juga kayu api. Sebuah gudang memproses dan menyimpan kayu api telah disediakan di Ghouta Timur di pinggir kota Damaskus.

Masyarakat prihatin boleh berhubung dengan pihak sekretariat kempen ini untuk mengatur kerjasama program kesedaran berbentuk kuliah, ceramah kesedaran ataupun pameran di samping menghulur bantuan melalui talian 03 5166 0599 (pejabat operasi) atau 012 954 7861 (hotline).

Bantuan ikhlas anda boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
Maybank Berhad : 5622-6350-2611

atau,

Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

Laporan MediaHALUAN