fbpx

Remaja Haluan Dekati Masyarakat Berbilang Bangsa di KLCC

Remaja Haluan Dekati Masyarakat Berbilang Bangsa di KLCC

Remaja Haluan Dekati Masyarakat Berbilang Bangsa di KLCC

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Program Pewaris Remaja HALUAN Kebangsaan (PeWARIS) 2011 anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Nasional telah diadakan dengan jayanya pada 3 – 5 Februari yang lalu bertempat di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Universiti Malaya dan Masjid as-Syakirin, KLCC.


Program ini disertai oleh 135 orang peserta yang terdiri daripada barisan kepimpinan pelajar dari seluruh negara. Tema bagi program kali ini ialah Remaja Bermaruah, Pencetus Perubahan Masyarakat (Youth of Dignity, Catalysts in Society) dan berobjektifkan penerapan nilai-nilai Islam dalam diri peserta sebagai persediaan untuk berdakwah kepada masyarakat.

Program selama tiga hari itu dirasmikan oleh Naib Presiden HALUAN, Dr. Hj. Azizan Ahmad. Selain bertujuan dakwah, program berkenaan juga menitikberatkan amalan ukhuwah dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Dr Azizan dalam ucapannya berharap program berkenaan mampu untuk mengukuhkan jaringan antara kepimpinan pelajar di seluruh negara.

Pada program itu juga peserta turut dilatih supaya berani berkomunikasi dan mereka terlibat melakukan tinjauan dan kaji selidik di sekitar KLCC. Aktiviti ini memberi ruang kepada para peserta untuk mengenali masyarakat dengan lebih mendalam, terutamanya masyarakat bukan Islam dan pelancong.

“Ini merupakan kali pertama KeARAH melaksanakan program di kawasan metropolitan. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan para peserta gembira menimba pengalaman baru menaiki LRT dan berhadapan dengan masyarakat di KLCC,” kata Pengarah Program, Nu’man Afifi.

Program berkenaan dirasmikan penutupannya oleh Penasihat KeARAH, Hj. Baderol Allam Awang.