fbpx

66 Relawan HALUAN Ikuti Latihan Paramedik

66 Relawan HALUAN Ikuti Latihan Paramedik

66 Relawan HALUAN Ikuti Latihan Paramedik

Rawang, 15 Februari — Fasa kedua latihan untuk relawan HALUAN telah berjaya dilangsungkan di Madrasah As Siddiqin Bandar Tasik Puteri, Rawang.


Seramai 66 orang peserta dilatih melalui modul ini, iaitu satu latihan paramedik berkaitan kaedah asas apabila berhadapan dengan kecemasan.

Latihan berkenaan telah dikendalikan oleh Dr Ahmad Zabidin Zakaria dari Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dengan di bantu oleh para pelajar BLS Training School Tour, Cyberjaya University College Of Medical Science.

“Sebagai relawan yang menawarkan diri berkhidmat kepada masyarakat, pengetahuan seumpama ini adalah amat perlu lebih-lebih lagi di dalam situasi yang tidak menentu apabila berhadapan dengan bencana,” ujar Dr Ahmad Zabidin dalam sesi latihan yang dikendalikannya. Untuk tujuan itu, para peserta telah didedahkan dengan kaedah bantuan pernafasan (CPR) yang betul, bantuan kecemasan akibat tercekik, bagaimana menarik keluar mangsa dari tempat nahas serta kaedah balutan andoh sewaktu kecemasan.

Sessi amali begitu mendapat sambutan kerana semua peserta diberi peluang untuk melakukan sendiri kaedah bantuan kecemasan yang diajar ke atas patung atau alat bantuan pengajaran yang disediakan BLS Training School.

Secara keseluruhan, modul latihan paramedik ini telah berjaya memberi ilmu dan pengalaman yang berguna untuk persediaan para relawan menghadapi situasi yang memerlukan bantuan awal sebelum bantuan daripada pakar perubatan tiba.  Biro Relawan HALUAN merancang tiga lagi modul asas untuk dilalui oleh para relawan, iaitu ‘Kecemasan Dan Penyelamat’, ‘Urus Tadbir Masjid/Surau’ dan ‘Bantuan Am’.

Biro Relawan HALUAN mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Madrasah As Siddiqin yang memberi komitmen dan kerjasama begitu besar kepada HALUAN untuk menterjemahkan motto ‘Berakhlak, Mendidik Dan Berbakti’ kepada masyarakat. Yang lebih bermakna lagi, kesemua jawatankuasa madrasah tersebut adalah juga merupakan sebahagian daripada para relawan HALUAN.