fbpx

Remaja Buru Syurga di KMK Zon Perak

Remaja Buru Syurga di KMK Zon Perak

Remaja Buru Syurga di KMK Zon Perak

CHANGKAT JERING, PERAK, 24 Nov 2015 — Kem Minda Kreatif (KMK) Perak telah berlangsung daripada 21 hingga 22 November lepas di Perasa Autocamp di sini. Program anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dan Kelab Belia HALUAN Ipoh itu berjaya membimbing 41 orang peserta yang terdiri daripada 21 lelaki dan 20 orang remaja perempuan.

KMK pada tahun ini memilih tema “Memburu Syurga di Langit Terbuka” bagi membentuk remaja masa kini yang mampu mengenal, memahami dan memilih jalan-jalan ketaqwaan dan keimanan dari sudut amal soleh agar dapat menuju syurgaNya.

Tenaga penggerak yang diketuai oleh Cikgu Zul Safaruddin Mat selaku penasihat KMK Perak turut sama dijayakan oleh kem komandan Encik Muhammad Arif Ismail yang dibantu oleh timbalan komandan, Muhammad Shahmi Asakir dan Nurul Atiqah Mahmud serta barisan fasilitator dan urusetia kem.

Program bermula dengan taklimat program dan sesi ice-breaking bagi merapatkan ukhuwah sesama peserta dan fasilitator. Program diteruskan dengan kuliah pertama oleh Ustaz Syed Zainal Zahari Syed Hasan bertajuk ‘Remaja Pemburu Syurga’. Beliau menekankan tentang pembinaan amal soleh yang perlu dilakukan oleh remaja muslim masa kini terhadap dirinya, masyarakat dan negara agar dapat memiliki syurga yang telah Allah SWT janjikan buat hambaNya.

Seterusnya, aktiviti latihan dalam kumpulan telah dijalankan selepas solat berjamaah. Peserta diminta untuk membincangkan sesuatu permasalah remaja mengikut tema yang diberikan iaitu “Remaja Pemburu Syurga”. Pada sebelah petang, para peserta bersiap sedia untuk melakukan aktiviti memanah dikendalikan oleh Encik Shahrul Anuar Rahmad.

Program diteruskan dengan aktiviti Malam Minda Kreatif di mana para peserta diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka melalui lakonan, nasyid dan sebagainya. Mereka dinilai mengikut beberapa kriteria pemarkahan termasuklah kreativiti dan isi persembahan.

Seawal jam 5.30 pagi, para peserta telah bersiap sedia untuk solat subuh dan bacaan Al-Mathurat yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Shahmi. Aktiviti diteruskan dengan senaman yang dikendalikan oleh Encik Amir Hamzah Razali seterusnya taklimat oleh jurulatih bertauliah, Encik Shahrul Anuar Rahmad dan Encik Mohd Rafee Roslan sebelum menjalankan aktiviti Flying Fox yang menyeronokkan.

Seterusnya, sesi refleksi kem dikendalikan oleh Kem Komandan sendiri. KMK Perak telah melabuhkan tirai dengan ucapan aluan oleh Encik Zul Safaruddin Mat, selaku Ketua Biro Pembangunan Keluarga & Remaja HALUAN Perak. Perasmian penutupan disempurnakan oleh Yang Dipertua HALUAN Perak, Encik Amran Yeop Zahari yang juga menyampaian hadiah kepada para peserta.


Laporan oleh Izzah Athirah Ibrahim, Setiausaha KMK Perak 2015