fbpx

Anak Yatim di Kem Ein Al-Hilweh Berterima Kasih Atas Bantuan Sara Hidup

Anak Yatim di Kem Ein Al-Hilweh Berterima Kasih Atas Bantuan Sara Hidup

Anak Yatim di Kem Ein Al-Hilweh Berterima Kasih Atas Bantuan Sara Hidup

LUBNAN, 24 Nov 2015 — 100 anak yatim Palestin dan Syria yang menumpang hidup di Kem Pelarian Ein al-Hilweh di Lubnan menerima sumbangan tajaan sara hidup mereka bagi bulan November 2015, dengan penuh rasa syukur dan terima kasih.

Program tajaan sara hidup US$50 setiap orang bagi anak-anak yatim Palestin dan Syria yang dilancarkan secara kerjasama oleh Biro HALUAN Palestin dan Biro HALUANITA sejak awal tahun 2014 itu, memberi peluang kemudahan kepada masyarakat Malaysia yang prihatin bagi membantu mereka untuk menampung keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan pendidikan agar menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Anak-anak yatim ini merupakan sebahagian kecil daripada 70,000 anak-anak pelarian Palestin di kem-kem pelarian di Syria yang sekali lagi terpaksa menjadi pelarian setelah tercetusnya peperangan di tanah air mereka. Hakikatnya, masih ramai anak-anak yatim yang terpaksa berpindah dari satu kem ke kem lain bagi meneruskan kehidupan yang penuh kesuraman tanpa belaian kasih ibu bapa mahupun waris. Di usia yang sangat muda ini, mereka terpaksa mengharungi keperitan hidup akibat dari krisis peperangan yang sehingga kini masih belum menampakan titik penghujungnya.

Justeru, HALUAN mengalu-alukan lebih ramai penyertaan rakyat Malaysia dalam program ini, agar lebih ramai anak yatim dapat ditaja sekali gus mampu memberikan sedikit bantuan bagi meringankan penderitaan yang ditanggung oleh anak-anak yang tidak berdosa ini.

Untuk maklumat lanjut boleh layari di www.haluanpalestin.org atau www.facebook.com/haluanpalestin.


Laporan oleh Muhammad Musab Saari, SUK Biro HALUAN Palestin