fbpx

Relawan MKB13 Bersemangat Untuk Terus Berbakti

Relawan MKB13 Bersemangat Untuk Terus Berbakti

Relawan MKB13 Bersemangat Untuk Terus Berbakti

BANDAR BARU BANGI, 16 Feb 2014 – Rentetan dari Pasca Misi Kemanusiaan Banjir HALUAN 2013 (MKB13) yang lalu, satu majlis telah dianjurkan bagi meraikan para relawan yang telah memberikan khidmat bakti dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang ditimpa musibah. Tujuan utama majlis ini adalah untuk membuka ruang kepada para relawan yang terlibat secara langsung di dalam misi yang lalu untuk berkongsi pengalaman, perasaan dan luah hati dengan bakal-bakal relawan serta masyarakat setempat yang turut hadir bersama memeriahkan pertemuan ini.

Majlis Mesra Relawan MKB13 telah diadakan di Dewan Seminar, Ibu Pejabat HALUAN ini telah menyuntik semangat kesukarelawan melalui perkongsian secara langsung sesama peserta bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Majlis ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada Penyelaras Sektor Misi Kemanusiaan HALUANITA, Puan Nurtasneem Md Yusoff merangkap pengerusi majlis ini mengalu-alukan kedatangan semua peserta yang terdiri daripada kalangan relawan MKB13, alumni JDK 2013 dan beliawanis yang berminat.

Seterusnya, ucapan daripada Ketua Biro Haluanita, Puan Alfiah Samingan yang bersemangat menegaskan tugas ‘relawan’ merupakan satu perniagaan yang besar di sisi Allah SWT sebagaimana disebutkan dalam surah As-Saff: ayat 10 hingga 11 yang dibacakan pada pembukaan majlis oleh Cik Nulkirah Manla, 38 . Beliau juga berkongsi sedikit sebanyak pengalaman misi yang pernah dilalui seperti misi ke Palestin, Syria, Sabah dan bantuan kepada fakir miskin sekitar Sepang.

Majlis diteruskan dengan sesi perkongsian pengalaman daripada barisan relawan MKB13. Menariknya sesi ini, para peserta dapat mendengar secara langsung perkongsian-perkongsian para relawan tentang pengalaman yang dilalui sepanjang mengikuti MKB13 yang lalu.

“Peluang memberi khidmat di Kuantan melalui MKB13 yang lalu adalah pengalaman yang sangat menginsafkan,” kongsi Cik Aisyah Dollah@Abdullah,30 , yang mengetuai pasukan pertama relawan yang berkhidmat di Kuantan.

Antara relawan yang hadir dan berkongsi pengalaman adalah Puan Salsah Bariman, 58 tahun ahli pasukan pertama relawan yang sangat bersemangat menyumbang tenaganya dalam menjayakan misi yang lalu. “Memang satu peluang yang sangat berharga bila dapat membantu mereka yang ditimpa musibah melalui misi banjir yang lalu,” katanya berkongsi cerita.

Lain pula perasaan oleh seorang relawan yang menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), iaitu Cik Nor Azizah Ismail,24. Katanya, “Pilu dan sedih melihat mereka yang susah ditimpa ujian, saya rasa seperti mahu terus membantu mangsa di sana dan tidak mahu pulang lagi.”

Bagi menghargai jasa dan bakti para relawan MKB13, mereka telah dikurniakan sijil dan cenderahati yang disampaikan oleh Ketua Biro Haluanita, Puan Alfiah Samingan. Setiap relawan mendapat sijil penghargaan dan sehelai T-Shirt MKB13.

Satu sesi perkenalan dengan semua peserta yang hadir turut diadakan sebelum majlis bersurai yang diakhiri dengan makan tengahari. Semua peserta menyatakan hajat dan hasrat yang berkobar-kobar untuk menyertai misi-misi yang akan diadakan oleh pihak Biro Haluanita pada masa akan datang.

“Ini adalah kali pertama saya kenal HALUAN, syukur kepada Allah SWT telah menemukan saya dengan HALUAN yang saya cari selama ini,” luah Puan Nor Aini Yusof,31 dengan rasa terharu yang datang atas pelawaan jirannya, salah seorang alumni JDK 2013.

Majlis berakhir dengan jayanya dan rata-rata para relawan mengharapkan agar majlis sebegini diadakan lagi di masa akan datang. Peserta yang hadir telah mendapat gambaran yang sebenar dengan perkongsian pengalaman daripada semua relawan Haluanita. Semoga Allah SWT memilih kita untuk menjadi penolong-penolong-Nya dalam menegakkan agama-Nya di atas muka bumi ini.


Laporan Oleh: Nurtasneem Md Yusoff, Penyelaras Sektor Misi Kemanusiaan Haluanita