fbpx

Majlis Penyerahan IPTIPs Kepada HALUAN Lancar

Majlis Penyerahan IPTIPs Kepada HALUAN Lancar

Majlis Penyerahan IPTIPs Kepada HALUAN Lancar

KANGAR, 14 Mac 2014 – Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Institusi Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) berjalan dengan lancar dan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis, YAB Dato’ Tuan Azlan Man.

Majlis yang bersejarah itu telah berlangsung di Dewan Anggerik 3, Hotel Seri Malaysia bermula jam 2.45 petang pada 13 Mac dan turut diserikan dengan upacara penyerahan sijil penghargaan dan saguhati kepada bekas kakitangan IPTIPs. Ia sebagai menghargai segala sumbangan mereka dalam memartabatkan industri ilmu di negeri yang terkenal dengan jolokan darul sunnah ini.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dalam ucapannya menyatakan hasrat HALUAN yang sentiasa berusaha untuk memperkasakan pendidikan di Malaysia dengan mengusahakan pelbagai institusi pendidikan di pelbagai peringkat bermula dengan pra-sekolah sehinggalah pengajian tinggi. Dengan tujuan ini juga, HALUAN berazam untuk membantu kerajaan negeri dalam membangunkan semula IPTIPs yang sememangnya sudah terkenal sebagai salah sebuah institusi pendidikan agama Islam terulung di Malaysia.

“HALUAN akan meneruskan visi dan misi IPTIPs yang sedia ada kerana ia memang selari dengan matlamat kami,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Menteri Besar Perlis, YAB Dato’ Tuan Azlan Man merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Islam Perlis (YIPs) serta Timbalan Presiden HALUAN Prof. Emeritus, Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin yang juga Pengerusi Pengelola KTD telah menyaksikan sesi menandatangani perjanjian tersebut yang dimeterai oleh Ahli Lembaga Pengarah YIPs, Dato’ Azam Rashid dengan Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Kerja (SUK) Negeri Perlis, YB Tuan Romli Dai; Adun Kuala Perlis, YB Mat Hassan’; Adun Simpang Empat, YB Nurulhisham; Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Sokri Husin; Mantan Rektor IPTIPs, Muhammad Fadhli Ilias; Naib Presiden 1 HALUAN, Al-Fadhli Ustaz Abdul Hadi Osman; Rektor IPTIPs yang baru Dr Ismail Jusoh; Ahli-ahli Lembaga Yayasan Islam Perlis, Ahli-ahli Lembaga IPTIPs, guru-guru besar sekolah bawah seliaan YIPs serta Yang Dipertua HALUAN dan ahli-ahli HALUAN sekitar negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Perlis yang menjadi pemilik IPTIPs telah memberhentikan operasi IPTIPs pada bulan November 2013 lalu kerana YIPs yang menyelia operasi institusi pengajian agama itu tidak lagi dapat meneruskannya kerana masalah kewangan yang meruncing. Justeru itu, kerajaan negeri membuka peluang kepada pihak-pihak yang berminat untuk mengambil alih dan mengurus semula IPTIPs.

IPTIPs yang ditubuhkan pada 1997 merupakan pusat pengajian Islam yang mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang menawarkan pengajian Diploma Al-Quran dan Al-Hadis, Diploma Usuluddin dan Diploma Syariah.

HALUAN sebagai badan pengurusan baru IPTIPs akan mengoptimumkan segala usaha dan doa untuk memberikan nafas baru kepada pembangunan semula IPTIPs dalam rangka memartabatkan ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia. Melalui pengambilalihan ini, IPTIPs akan beroperasi di bawah IPTIPs Sdn Bhd yang kini berpindah milik kepada HALUAN.

Pengambilan pelajar baru IPTIPs untuk sesi mendatang akan bermula pada Jun 2014 ini dengan pengajian diploma IPTIPs yang sedia ada, di samping Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan juga Kursus Intensif Bahasa Arab.


Laporan Unit mediaHALUAN