fbpx

Relawan Mavi Marmara di PERDA Pulau Pinang

Relawan Mavi Marmara di PERDA Pulau Pinang

Relawan Mavi Marmara di PERDA Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 10 Ogos 2012 — HALUAN Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Biro Agama Kelab Sukan dan Kebajikan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah menganjurkan Ceramah Kesedaran Palestin Sempena Ramadhan Al-Mubarak di bangunan PERDA di sini. Seramai 50 orang pegawai PERDA telah merebut peluang menghadiri ceramah tersebut.

Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Al-Hami Husain Suhaimi, seorang aktivis HALUAN yang pernah menyertai misi kemanusiaan ‘Freedom Flotilla” ke Gaza pada tahun 2010 dan mengalami detik-detik cemas kapal yang dinaiki, Mavi Marmara, diserang ganas oleh komando tentera laut Israel. Dalam tragedi tersebut, beliau dan 11 rakan aktivis Malaysia yang lain telah dipenjarakan oleh tentera Israel.

Menurut Jurucakap PERDA, En Ahmad Syukri Nordin, program keagamaan sering diadakan di sini tetapi inilah kali pertama ceramah mengenai realiti Palestin diadakan, justeru ia telah menyentuh hati semua warga PERDA yang hadir. “Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengimarahkan bulan Ramadhan selain memberi tazkirah supaya semua warga PERDA mendapat kesedaran terhadap tanggungjawab mereka sesama Islam,” kata beliau kepada MediaHALUAN.

Menurut beliau lagi, ramai yang hadir ke ceramah tersebut telah melahirkan perasaan bahawa adalah menjadi satu keperluan untuk kita membela nasib rakyat Palestin melalui bantuan kewangan. Perasaan itu benar-benar mereka zahirkan apabila kutipan sumbangan yang diadakan di sepanjang ceramah tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak RM1493.

“Harapan saya supaya pihak HALUAN dapat teruskan program kesedaran perkembangan Islam, terutamanya perkara-perkara yang menyentuh tentang bantuan yang patut disalurkan untuk membela masyarakat Islam di seluruh dunia,” kata En Ahmad Syukri lagi.