fbpx

Doktor Muda Jinjing Uncang Prihatin Umat

Doktor Muda Jinjing Uncang Prihatin Umat

Doktor Muda Jinjing Uncang Prihatin Umat

BANGI, SELANGOR 16 Ogos 2012 — Siapa kata jarak menyukarkan usaha mengumpul dana bagi membantu ummah yang dirundung malang? Seorang pelajar perubatan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia telah melaksanakan “ibadah istimewa” sepanjang Ramadhan 1433H ini dengan mengumpul dana bukan untuk satu tetapi tiga sasaran sekaligus; Rohingya, Somalia dan Syria.

Pemuda bernama Dr Ahmad Fahmi Sulaiman seorang doktor muda yang sedang melakukan latihan amali di Bandung, Indonesia telah berjaya mengumpulkan sehingga 10 juta Rupiah (bersamaan RM3,300) melalui sistem perbankan atas talian. Menurut Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Baharudin Suri, pemuda berkenaan yang hanya dikenali beliau melalui perhubungan Facebook itu telah melaksanakan suatu usaha yang seharusnya dipuji oleh generasi muda.

“Pakcik, uncang untuk bantuan Rohingya sudah penuh dan kini saya buka untuk bantuan ke Syria dan Somalia pula. Dan saya bercadang untuk disalurkan melalui HALUAN,” kata Dr Baharudin memetik perbualan Facebook di antara mereka.

Doktor muda itu dan rakan-rakannya telah menggunakan kemudahan perbankan internet melalui media Facebook untuk mensasarkan kutipan yang sungguh bererti itu. Mangsa di Rohingya di Barat Myanmar sedang menjadi pelarian perang akibat pembersihan etnik oleh kaum ekstrimis Buddha. Perang saudara di Syria mengorbankan ribuan rakyat yang tidak berdosa. Kemarau berpanjangan dan perang saudara di Somalia telah membunuh ratusan ribu rakyat Islam di timur benua Afrika itu. Semuanya sedang disantuni oleh HALUAN Malaysia yang sentiasa memerlukan bantuan derma ikhlas masyarakat dari mana sahaja tanpa mengira kaum dan agama.

Dr Baharudin yang telah menyertai banyak misi-misi kemanusiaan sebelum ini amat terangsang dengan tindakan pemuda ini. Difahamkan dengan usaha sedemikian setiap uncang telah mencapai sasaran 10 juta Rupiah setakat 11 Ogos yang lalu. Lebih menarik ialah para penyumbang kepada kutipan itu terdiri daripada kenalan Facebook beliau di Indonesia dan Malaysia.

Sekembalinya beliau dari Bandung pada 15 Ogos, Dr Ahmad Fahmi terus ke pejabat HALUAN di Bandar Baru Bangi bersama ahli keluarganya untuk menyerahkan uncang bantuan bagi Syria dan Somalia. Biro Misi Kemanusiaan HALUAN telah diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi HALUAN, Saudara Wan Abdullah Sabary Hj Wan Harun, untuk menerima sumbangan murni pemuda ini.

“Saya bagi pihak HALUAN amat menyanjungi usaha beliau yang amat kreatif untuk membantu masyarakat Islam yang menjadi mangsa. Sifat keprihatinan dan inisiatif yang begitu tinggi perlu kita semua contohi. Sebenarnya ramai masyarakat umum yang cakna dan ingin menyalurkan sumbangan. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang samada di Indonesia, Malaysia dan di mana sahaja. Allah akan menjadi saksi di atas keprihatinan anda semua,” tambah Dr Baharudin.

Teruskan menyumbang melalui TABUNG KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN HALUAN, MAYBANK BERHAD, No. akaun 5622-6350-2611.