fbpx

Relawan HALUAN Dibebaskan Imigresen Jordan

Relawan HALUAN Dibebaskan Imigresen Jordan

Relawan HALUAN Dibebaskan Imigresen Jordan

AMMAN, JORDAN 15 Apr 2016 – Penyaringan keselamatan yang ketat oleh pihak keselamatan Jordan menyebabkan salah seorang petugas HALUAN ditahan oleh pihak imigresen negara itu sejurus ketibaan pasukan kemanusiaan tersebut di Lapangan Terbang Queen Alia pada 12.30 malam 14 April lepas.

Muhammad Shakir Sabarudin, yang juga Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan (BMK) HALUAN ditahan lebih dua jam oleh pihak berkuasa negara berkenaan kerana nama beliau menyamai nama-nama mereka yang disenaraihitamkan oleh kerajaan Jordan. Setiba di kaunter pemeriksaan imigresen, beliau yang pertama melalui lorong pemeriksaan telah mengambil sedikit masa sebelum diminta untuk bertemu pegawai atasan di pejabat berdekatan. Menurut pegawai di kaunter, nama Shakir didapati sama dengan nama yang terdapat dalam senarai mereka yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Jordan. Namun, kesemua ahli-ahli pasukan yang lain telah melalui pemeriksaan tanpa sebarang masalah dan terus ke ruang bagasi. Lebih dua jam kemudian, Shakir dibebaskan dengan paspot beliau ditahan utk pemeriksaan lanjut.

“Pegawai imigresen berkenaan berpuashati dengan penjelasan yang saya berikan berkenaan misi kemanusiaan kami untuk membantu mangsa pelarian Syria di sini serta mereka juga sedari saya bukanlah fugitive yang mereka kehendaki,” kata beliau sambil tersenyum. “Namun pegawai atasan memaklumkan bahawa penahanan paspot saya itu adalah prosedur keselamatan yang biasa dijalankan apabila ada kesamaan nama-nama pelancong dengan senarai “wanted” mereka..”

Beliau telah diminta untuk hadir sendiri ke pejabat perisikan keselamatan Jordan pada hari Khamis ini untuk mengambil semula paspot beliau. HALUAN sedang berada di Jordan untuk menyampaikan bantuan perubatan dan peralatan pendidikan di kem pelarian Syria yang berada di bumi Jordan. Misi yang bermula dari 11 ke 22 April ini adalah sebahagian daripada siri kempen “Warmth For Syria” oleh HALUAN.

Misi kali ini disertai juga oleh krew Astro Prima untuk penggambaran projek bantuan kemanusiaan HALUAN dinamakan program HAJAT kendalian stesen itu. Program berkenaan dijangka akan ditayangkan melalui Astro Prima pada bulan Ramadhan akan datang. Ia sebagai satu tayangan aktiviti kemanusiaan HALUAN kepada umum untuk mendapatkan sumbangan daripada masyarakat awam Malaysia.

Misi kali ini diketuai oleh Muhammad Shakir dibantu oleh Encik Mohd Qaweim Baqi serta jurufoto daripada Biro Penerangan HALUAN, Encik Abdullah Afiq Nashiron; Ketua BMK, Dr Baharudin Suri dan Dr Mohtar Ibrahim daripada Kelab Kesihatan HALUAN turut serta dalam aktiviti pelancaran klinik dan penyerahan bantuan ubatan di samping aktiviti bersama pelajar-pelajar perubatan Malaysia di University JUST.

Astro Prima diwakili oleh lima krew termasuk seorang pengacara. Turut serta adalahseorang wartawan jemputan daripada akhbar Sinar Harian.

Laporan Dr Baharudin Suri
Ketua BMK HALUAN
Irbid, Jordan