fbpx

PSP Sinambung Khidmat Masyarakat Orang Asli Air Banun

PSP Sinambung Khidmat Masyarakat Orang Asli Air Banun

PSP Sinambung Khidmat Masyarakat Orang Asli Air Banun

AIR BANUN, GERIK, 18 Mac 2019 – Khidmat bakti transformasi kehidupan masyarakat terpinggir orang asli diteruskan oleh HALUAN baru-baru ini dengan penglibatan buat pertama kalinya oleh Politeknik Seberang Perai (PSP).

Seramai 50 orang pelajar lelaki dan 10 orang tenaga pengajar yang di ketuai oleh pensyarah dan penasihat Kelab Integriti PSP, Ustaz Mohd Fazlon Abdul Rahim telah dibantu 12 orang anggota HALUAN dalam projek kali ini. Program bersama PSP dari 15 ke 17 Mac itu adalah anjuran Jabatan Pengajian Am, PSP.

Projek Khidmat Masyarakat di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun ini terletak di Kampung  Air Banun, sebuah kampung penempatan semula tertua di daerah ini yang telah menjadi kampung angkat HALUAN. RPS berkenaan menempatkan lapan buah kampung berasingan yang merupakan kampung perpindahan akibat daripada pembinaan empangan air terbesar di negeri Perak. Kampung ini adalah salah sebuah kampung penempatan orang asli dari suku kaum Jahai.

Mereka menetapkan hari pertama dan ketiga sebagai penumpuan khusus kepada siswazah PSP dalam membentuk dan memantapkan jati diri mereka. Manakala majlis kemuncak untuk Program Khidmat Masyarakat jatuh pada hari kedua di mana berbagai aturcara yang melibatkan penduduk  setempat telah diadakan. Di antara aktivitinya termasuklah menebas belukar di tapak pertanian sayuran orang asli, pembersihan sungai, membersih sekitaran laman kampung, memasak dan menjamu orang kampung, demonstrasi memasak cucur kodok dan lempeng serta kari ayam.

Untuk golongan remaja perempuan, para pensyarah wanita PSP telah mendemonstrasi kaedah persolekan diri. Prgram sukaneka untuk kanak-kanak turut diadakan. Acara kemuncak adalah majlis penutup yang disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pengajian Am PSP, Puan Yeap Lay Hwa dan penyampaian hamper makanan keperluan dapur kepada semua penduduk kampung terbabit. Semua aktiviti berkenaan berpusat di dewan serbaguna Kampung Air Banun yang telah dibaikpulih oleh sukarelawan HALUAN dan siswazah  daripada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim sejak enam bulan lepas.

Menurut Pengarah Projek Tautan Kaseh Orang Asal RPS Air Banun, Dr. Ahmad Ikhwan Subberi, pihak HALUAN sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana institusi kerajaan atau swasta yang ingin menyumbang ke arah mempertingkatkan daya juang penduduk kampung orang asli agar mampu berdikari. Sumbangan dalam bentuk wang ringgit amat diperlukan untuk kelestarian projek dalam jangka panjang.

“Kita masih memerlukan dana untuk pembinaan tandas awam di kampung ini. Kita sudah perbaiki dewan mereka yang kini sudah boleh diguna dengan selesa oleh mana-mana NGO yang melawat. Cuma tandasnya tiada. Kami sedang mengusahakan dana untuk membolehkan tandas yang selesa dan bersih dapat dibina dengan lengkap di sini, di samping dana untuk menambahbaik dewan berkenaan untuk menepis tempias hujan dan angin,” katanya.

Menurut Tok Batin Kampung Air Banun, Encik Cheknekleg,  masyarakat kampung beliau amat menggalakkan dan menerima kedatangan orang luar untuk membina jati diri dan meningkatkan sosio-ekonomi mereka agar dapat mengejar  arus pembangunan negara. HALUAN turut melaksanakan projek pertanian perintis bernilai komersil di kampung berkenaan untuk membantu mereka.

Jika anda ingin turut membantu, salurkan sumbangan anda melalui:

Orang Asli – Projek Bina Surau & Tandas

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.


Laporan Abdul Halim Khudri, HALUAN Pulau Pinang