fbpx

HALUAN Aktif Bantu Mangsa Keracunan Kimia

HALUAN Aktif Bantu Mangsa Keracunan Kimia

HALUAN Aktif Bantu Mangsa Keracunan Kimia

PASIR GUDANG,17 Mac 2019 – Pasukan Sukarelawan HALUAN meneruskan Bantuan Kecemasan Keracunan Kimia Pasir Gudang pada hari yang ketiga dengan turun ke lapangan di Pasir Gudang hari ini.

Ia diketuai oleh Ketua Biro Pemuda HALUAN cawangan Johor, Ustaz Muhammad Suhaeil Rubani yang tiba di kawasan bencana jam 11:30 pagi bersama tiga lagi sukarelawan. Mereka  turun dengan pakaian pencegahan lengkap termasuk penutup hidung dan apron. Tumpuan aktiviti hari ini adalah di Taman Pasir Putih, kawasan perumahan yang termasuk dalam zon merah dan berada tidak jauh dari Sungai Kim Kim, pusat utama pencemaran bahan kimia berlaku.

Pasukan sukarelawan HALUAN telah bertemu penduduk, melakukan agihan penutup muka, agihan nota kesihatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan menyampaikan motivasi nasihat terutamanya tentang keperluan menjaga kesihatan. Ia dilaksanakan dengan begitu teliti dan dalam jangka waktu masa yang minima tetapi efektif. Ini kerana keselamatan dan tahap kesihatan sukarelawan juga menjadi keutamaan agar mereka tidak terdedah terlalu lama kepada bahan kimia yang beredar di udara yang boleh membahayakan diri.

Seorang wakil penduduk Encik Ahmad Khusairi Hasyim yang juga ahli HALUAN di lokasi ditemui di perkarangan Surau Nur Iman, Taman Pasir Putih. Beliau bersama beberapa penduduk lain hadir menerima 300 topeng muka, nota kesihatan dan nasihat pelan perpindahan sekiranya perlu.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas keprihatinan HALUAN membantu penduduk Pasir Gudang khasnya Taman Pasir Putih yang terdedah kepada bencana alam ini sejak 7 Mac lalu. Menurut beliau lagi, “Oleh kerana kedudukan taman ini lebih kurang 500 meter sahaja dari Sungai Kim Kim, ramai penduduk yang terjejas kesihatan mereka dan telah mendapat rawatan di hospital berhampiran. Ramai juga keluarga yang sudah berpindah sementara keluar dari Pasir Gudang bagi mengurangkan risiko bahaya kepada ahli keluarga terutamanya anak-anak mereka.”

Turut sama turun pada hari ini ialah wakil Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang sudi menyerahkan 280 penutup muka kepada pasukan HALUAN untuk di agih-agihkan kepada penduduk taman.

Terdahulu, HALUAN telah mula menyantuni masyarakat Pasir Gudang pada hari Jumaat 15 Mac lalu dengan mengedarkan 200 penutup muka di Taman Mawar dan Taman Pasir Putih. Pada hari berikutnya, 200 keping lagi telah diagihkan oleh pasukan HALUAN kepada penduduk sekitar Pasir Gudang. HALUAN juga turut menghantar dua orang doktor perubatan dalam rawatan kesihatan di Stadium Tertutup Pasir Gudang pada hari Sabtu lepas.

HALUAN akan meneruskan misi bantuan kecemasan keracunan kimia di Pasir Gudang dengan skala kemampuan dana dan bilangan sukarelawan yang ada dan mengikut garis panduan yang dibenarkan oleh pihak berwajib. Menurut Ustaz Suheil, walaupun keadaan sudah mula terkawal pada umumnya, penduduk masih lagi memerlukan khidmat nasihat kesihatan, dan ramai lagi yang berhajatkan penutup muka sebagai salah satu pencegahan kepada mudharat yang lebih teruk.

Kami menyeru seluruh masyarakat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Pasir Gudang dan bersama-sama membantu mereka dengan menyumbang kepada tabung bencana Pasir Gudang.

Emergency Aid Pasir Gudang

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.



Laporan Ustaz Muhammad Suheil Rubani, Ketua Pasukan Misi Bantuan Kecemasan Bencana Keracunan Kimia Pasir Gudang.