fbpx

PROASISR 8 Pupuk Kesedaran Diri Mahasiswa

PROASISR 8 Pupuk Kesedaran Diri Mahasiswa

PROASISR 8 Pupuk Kesedaran Diri Mahasiswa

GUA KELAM, 6 Sept 2015 – Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Zon Utara telah menganjurkan Program Mahasiswa Rabbani 8 (PROASISR 8) yang bertempat di Kem Hujan-hujan, Gua Kelam, Perlis selama tiga hari dua malam pada awal September yang lalu.

Dengan penyertaan seramai 64 orang mahasiswa dari seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di zon utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menjadikan program tahunan HALUANSiswa ini terus mendapat sambutan dari tahun ke tahun.

Bersifat sepenuhnya outdoor, PROASISR 8 menjadi ruang pertemuan yang baik untuk mahasiswa menambahkan jaringan perkenalan dan seterusnya membina ukhuwah islamiah sesama mereka. Selain itu, program ini menyediakan pengisian-pengisian jiwa yang menjurus ke arah memupuk kesedaran Islam di dalam diri mahasiswa.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan dalam program ini ialah para peserta bersama-sama mendaki bukit ke Tasik Meranti untuk hari kedua. Sesi ini menguji ketahanan dan kekentalan para peserta kerana jalan pendakian yang agak menegak serta curam. Namun, dengan semangat saling bantu membantu para peserta berjaya mengharungi dengan baik.

Selain aktiviti berbentuk fizikal, para peserta turut disajikan dengan pengisian kerohanian. Slot pengisian utama telah diisi oleh Dr Akram Mohd Dahlan, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berkaitan tajuk “Suasana Jahiliyyah hari ini” dan Slot pengisian kedua pula oleh Cikgu Ghazali Saad, wakil HALUAN Cawangan Kedah berkaitan tajuk “Kepentingan Tarbiyah dalam kehidupan Mahasiswa.”

Kedua-dua pengisian ini telah menimbulkan kesedaran pada para peserta untuk membentuk diri menjadi seorang muslim yang sejati selari dengan kehendak Allah SWT. Tiada jalan yang mampu membentuk diri melainkan dengan cara melalui proses pendidikan yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat iaitu tarbiah islamiah.

Majlis Penutup PROASISR 8 telah disempurnakan oleh Encik Khairul Anwar Husin, wakil HALUAN Cawangan Kedah, antara pesanannya, “Sesungguhnya pengalaman manis itu tidak mungkin berulang dua kali, tidak ternilai harganya, tidak akan diperoleh di jalanan, namun, ia sangatlah indah dan hanya insan-insan yang melaluinya akan merasai kemanisannya. Lalu, ia akan sentiasa tersimpan rapi di dalam kamus kehidupannya, buat ingat-ingatan di hari mendatang.”

PROASISR 8 melabuhkan tirainya dengan satu misi yang besar yang perlu digerakan oleh para peserta di setiap kampus IPT masing-masing. Projek-projek dakwah akan dilebarkan agar Islam terus menyinari kehidupan kampus di Malaysia.

Laporan oleh Muhammad Arif Ismail, Setiausaha PROASISR 8