fbpx

Pencapaian Little ‘Abd Memberangsangkan

Pencapaian Little ‘Abd Memberangsangkan

PUTRAJAYA, 1 Sept 2015 — Seramai 42 orang pendidik tadika dari seluruh negara telah berjaya mencapai modul penuh Tahap 4 dalam Kursus Guru-Guru Tadika “Little ‘Abd Programme” (LAP) yang berlangsung di sini pada 29-30 Ogos lepas.

LAP merupakan satu sistem pendidikan keimanan yang mendasar ke dalam hati dan sanubari anak-anak, sehingga mereka sangat mengenal Allah SWT sebagai Rabb dan Illah.

Kursus peringkat terakhir itu adalah atas usahasama HALUAN dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW). Ini bermakna kursus guru-guru bagi sesi 2014/2015 telah berakhir di seluruh negeri. Kursus guru LAP ini mempunyai empat tema. Tema 1 adalah Allah Rabb Kami, Tema 2 Allah Al Rahman Al Rahim, Tema 3 Little ‘Abd Loves Prophets, dan Tema 4 I Love And Obey Allah.

Program LAP ini telah berlangsung di beberapa zon sebelum ini. Antaranya adalah Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur. Pesertanya terdiri daripada guru-guru pusat tadika yang bersetuju mencerapi modul “Little ‘Abd Programme”.

Tujuan kursus ini adalah melahirkan guru-guru tadika yang mendidik anak-anak agar memahami dan menghayati tauhid kepada Allah SWT sehingga menjadikannya sebagai daya penggerak dalam semua aspek kehidupan kini dan masa hadapan mereka. Objektifnya adalah untuk memberi penerangan ciri-ciri guru solehah, mendapat penerangan cara mengajar subjek bertema, mendapat kaedah kendali murid-murid awal tahun persekolahan, serta mendapat kaedah mengajar subjek-subjek Modul Little ‘Abd Programme.

Antara penceramah yang hadir semasa kursus dilaksanakan adalah pencetus kursus Encik Mohd Rosdi Baharom, Puan Maimunah Hashim, Puan Hayati Mahmud, Puan Yong Khasimah, dan Puan Nur Aniza Kamaruddin. Penceramah–penceramah tersebut telah berada di setiap zon semasa kursus ini dilaksanakan. Setiap penceramah mempunyai peranan masing-masing dalam mendidik guru-guru LAP ke arah menjadi guru-guru yang berakhlak dan mahir dalam pekerjaannya. Pekerjaan guru tadika adalah suatu pekerjaan yang mulia; mendidik anak-anak mengenal Allah SWT, mengenal Rasulullah SAW dan seluruh aspek kehidupan bagi seorang muslim.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah ceramah, latihan dalam kumpulan, pembentangan bengkel, perbincangan dan lain-lain.

Para peserta merasa puas hati dengan perjalanan kursus bermodul ini kerana ia dijalankan secara mengikut tema. Peserta juga banyak belajar cara pembelajaran yang kreatif dan mempelajari mengawal emosi kanak-kanak.

Penceramah juga sangat konsisten dan bersemangat memberi tunjuk ajar kepada peserta. Semua peserta yang menepati kehadiran dan kelulusan keempat-empat tema tersebut akan dianugerahi sijil di upacara kemuncak kursus ini nanti iaitu semasa Konvensyen Wanita HALUAN yang bakal diadakan pada 21-22 November 2015 di Auditorium Masjid Putra, Putrajaya.

Semoga Kursus Tadika “Little ‘Abd Programme” ini akan dapat terus dilaksanakan dari masa ke semasa agar guru – guru tadika terus bersemangat mengajar anak-anak syurga ini dengan didikan yang terbaik dan bersistematik berteraskan tauhid sepanjang hayat. Awal belajar mengenal ALLAH SWT dan membesar menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa. InsyaAllah selamat dunia akhirat.


Laporan oleh Ummu Hani Mohd Nasaruddin, Setiusaha Kerja Biro HALUANITA