fbpx

Presiden HALUAN Sertai Misi Kemanusiaan Sulawesi

Presiden HALUAN Sertai Misi Kemanusiaan Sulawesi

Presiden HALUAN Sertai Misi Kemanusiaan Sulawesi

SEPANG, 9 Feb 2019 – Enam sukarelawan HALUAN selamat berlepas ke Palu, Sulawesi hari ini, kesinambungan daripada projek misi kemanusiaannya membantu mangsa gempabumi di sana. Misi kali ke-8 ini direncana akan menyantuni warga Rumah HALUAN Prihatin di Donggala di samping meneruskan bantuan sosio-ekonomi dan program motivasi.

Turut bersama dalam misi yang diketuai oleh Presiden HALUAN sendiri, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri; Ketua Biro HALUANITA, Dr. Zurina Muda; Ketua Biro Penerbitan, Dr. Asmawati Desa; Pegawai Logistik, Puan Umi Nadzrah Ali Othman; serta Pegawai Media, Muhammad Zakiran Mahmud.

“Rumah HALUAN Prihatin” adalah penginapan sementara yang didirikan hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui HALUAN yang terletak di Kabupaten Donggala. Ia menggantikan rumah penduduk yang musnah sama sekali akibat gempa berukuran 7.4 richter itu yang tercetus pada hari Jumaat, 28 September tahun lepas. Kini hampir 72 unit rumah telah dibina di sekitar Donggala.

“Kami telah mengenal pasti beberapa tempat di Donggala yang amat memerlukan. Mangsa masih berteduh di bawah khemah-khemah sementara. Hampir 300 keluarga lagi amat memerlukan perumahan  sementara ini, dan kami selaku NGO yang beramanah akan teruskan bantuan ini dengan sokongan dan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang prihatin,” rayu Dr Baharudin.

Gempa dahsyat yang berlaku di lautan itu telah diikuti dengan tsunami yang menimpa daerah Donggala, Palu dan Mamuju di Sulawesi Tengah. Akibatnya, berlakulah kerosakan yang dahsyat kepada penginapan, jalan dan jambatan sehingga melumpuhkan daerah itu sama sekali. Lebih 250 tiang elektrik telah musnah termasuklah menara telekomunikasi sehingga menyukarkan usaha menyelamat dan bantuan kemanusiaan. Berjuta rakyat Indonesia di kepulauan tersebut telah terjejas dengan lebih 2,000 kematian, ribuan tercedera dan lebih 85,000 orang hilang tempat tinggal mereka.

“Apa yang kita buat ini hanyalah secebis kecil daripada hajat besar masyarakat Sulawesi yang sedang menderita akibat bencana ini. Kita membuat apa yang kita terdaya namun kita sentiasa memanjatkan doa dan harapan kepada Allah SWT agar tiada lagi kesengsaraan yang menimpa mangsa-mangsa ini selepas ini. Rakyat Malaysia yang prihatin menderma telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa di sini. Moga Allah memberkati kita di tanahair dengan tidak menimpakan bala yang seumpamanya ke atas kita,” berkata Dr Abdullah Sudin kepada wartawan HALUAN di lokasi.

Kami mengalu-alukan tajaan untuk pembinaan Rumah HALUAN Prihatin ini oleh mana-mana syarikat korporat, badan  kerajaan, persatuan, universiti, surau, masjid mahupun individu. Tiada sumbangan yang terlalu kecil untuk menyingkapkan kesedihan mangsa tsunami di sana. Mereka yang berminat boleh terus menghubungi pihak HALUAN untuk maklumat lanjut.

Orang ramai yang ingin membantu boleh turut menghulurkan derma melalui pautan berikut:

Rumah HALUAN Prihatin Donggala

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.

atau

Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN
Maybank Islamik
No akaun: 5622 6350 2611
Whatsapp [Nama, #RumahPrihatin & Resit] ke http://www.wasap.my/60103005141

_
Laporan mediaHALUAN
Donggala, Sulawesi