Tanaman Sayuran Fokus Masyarakat Air Banun

Tanaman Sayuran Fokus Masyarakat Air Banun

Tanaman Sayuran Fokus Masyarakat Air Banun

AIR BANUN, GERIK, 4 Feb 2019 — Penggalakkan sosio-ekonomi penduduk orang asli di Kampung Air Banun di sini semakin rancak dengan pelancaran fasa pertama projek pertanian tanaman kontan komersil oleh HALUAN Pulau Pinang, dengan kerjasama Politeknik Sultanah Bahiyah (PoliKasih), Kulim.

Sebidang tanah subur bersebelahan air mengalir jernih Sungai Air Banun telah dikenalpasti sebagai tapak percubaan tanaman sayur-sayuran bernilai komersil yang diperlukan oleh pihak resort dan penduduk pekan dan bandar berdekatan. Menurut timbalan yang dipertua HALUAN cawangan Pulau Pinang, Syed Salleh Syed Kechik, pihaknya telah beberapa kali menziarahi kepimpinan kampung berkenaan serta melawati tapak cadangan pertanian berkenaan bersama Tok Batin kampung, Encik Ceknekleg serta anak-anak buahnya.

Ukhuwah yang sudah terjalin hampir dua tahun dengan mereka telah mulai menongkah arus pembangunan. Penduduk terpencil dan serba ketinggalan ini sudah mahu mengubah nasib mereka dengan usaha pencarian pendapatan yang lebih terjamin berbanding sekarang.

“Kampung ini tidaklah terlalu terpencil hinggakan susah diakses; dan kami perlu rangka rancangan jangka panjang untuk membantu mereka untuk berdaya maju. Banyak lagi yang boleh diusahakan dengan gemblingan tenaga muda dan tua daripada HALUAN bersama PoliKasih. Ahli HALUAN sendiri perlu kepada pendedahan yang lebih untuk memastikan projek-projek kita bersama benar-benar memberikan impak yang positif kepada mereka,” berkata Syed Salleh kepada wartawan HALUAN di lokasi.

Dengan bantuan tenaga muda penuntut PoliKasih, tapak percubaan pertanian tersebut telah ditebas daripada belukar tebal. Tapak seluas 30×20 meter itu akan dibersihkan dan digembur untuk membuang akar dan perdu tumbuhan sebelum dibina batas-batas tanaman sayur. Projek berkenaan akan dipantau oleh pakar pertanian berpengalaman HALUAN, Encik Zainol Abidin Md Hashim.

Katanya, tapak berkenaan akan dibesarkan kemudian ke skala komersil dengan penglibatan lebih ramai orang kampung sekiranya terbukti ia berjaya menghasilkan sayuran komersil bermutu tinggi. Untuk menjayakannya, pengurus projek di tapak, Ustaz Askee Ali akan memastikan penggunaan berjadual yang ketat Bahan Cegah Haiwan yang dikatakan mampu menghalau musuh utama tanaman iaitu gajah liar dan babi hutan. Tanah berkenaan didapati sangat subur dan sesuai untuk tanaman. Pihak HALUAN akan membekalkan peralatan pertanian, benih, baja serta racun pada tahap-tahap tertentu.

Menurut penyelaras projek kemasyarakatan PoliKasih, Ustaz Iruwan Idris, penuntut PoliKasih sudah empat kali turun berbakti di Kampung Air Banun, dua daripadanya melibatkan projek lawatan besar yang menjangkau antara 30 ke 36 peserta. Di antara penglibatan mereka adalah pembaikpulihan dan mengecat dewan serbaguna kampung berkenaan. Katanya, penerimaan dan tanggapan peserta sangatlah positif dan responsif dengan semangat penglibatan yang tinggi.

“Mereka pulang ke poli dengan cerita-cerita pengalaman manis berbakti dan ini merangsang penuntut lain untuk sama terlibat di masa depan. Kenangan manis senior-senior ini seperti semasa bersukaneka, membantu persiapan memasak, menjamu orang kampung, aktiviti ajar berus gigi, gali lubang tandas, mengecat dan membersih, mandi sungai dan sebagainya banyak menjadi kenangan manis untuk anak-anak muda kami,” berkata beliau yang juga berjawatan pengerusi Pusat Islam di PoliKasih.

“Dengan gabung projek kali ini bersama Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) politeknik, kita berharap penuntut kami akan pantas belajar berkenaan bakti kesukarelawanan dengan kerjasama NGO-NGO di luar sana seperti HALUAN Malaysia. Kami di Pusat Islam lebih fokus kepada bimbingan nilai keagamaaan. PRS pula lebih kepada bimbingan alam pendidikan, kaunseling agar penuntut mahir belajar. Mereka minat eksplorasi inter-budaya. Apapun aspirasi kami, kami perlukan gandingan dengan HALUAN untuk belajar lebih lagi,” tambah Iruwan.

HALUAN Pulau Pinang telah memetrai perjanjian koloborasi dengan PoliKasih pada Mac 2018 yang membolehkan HALUAN menyusun pelbagai program berbentuk pembinaan jatidiri masyarakat kampus tersebut berkaitan misi kemasyarakatan dan khidmat kesukarelawanan kemanusiaan.

Anda juga boleh turut berkongsi pahala dakwah dengan menyumbang ke arah menyuburkan semangat kesukarelawanan pemuda-pemudi ini dengan menderma ke akaun berkenaan:

HALUAN Pulau Pinang
Nombor akaun Maybank: 5572 5006 2982
Whatsappkan slip bank anda ke no: 019-4644 357 (Abd Halim Khudri) dengan tajuk “Infaq Orangasli”

Laporan unit mediaHALUAN Pulau Pinang

Spread the news! ‘Like’ and 'Share'
Visit Us
Whatsapp