fbpx

Prejudis Perlu Dikikis

Prejudis Perlu Dikikis

Prejudis Perlu Dikikis

PUTRAJAYA, 24 Dis 2012 – Muslimin-muslimat digesa membuang sikap prejudis yang menebal serta perlu mula berkawan dengan kaum India beragama Hindu untuk mendekatkan mereka kepada Islam. Kaum itu tidak mendapat gambaran sebenar mengenai Islam maka perlulah orang Melayu Islam mengambil peluang mendekati mereka secara berhikmah.

Itu adalah beberapa kesimpulan yang dibuat semasa forum Jom Cerita Islam Kepada India Malaysia yang diadakan di Masjid Putra di sini, anjuran bersama HALUAN Malaysia dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Hampir 200 peserta dicernamindakan oleh dua orang panelis berbangsa India yang mengupas kefahaman asas perihal bangsa, kasta, agama, dan sejarah orang India di Malaysia di samping kaedah terbaik menceritakan Islam kepada mereka.

Dalam ucapan perasmian beliau, Ustaz Abdul Manaf Mat yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM berkata kerja mendakwah adalah amalan wajib yang tiada khilaf padanya. Mencerita dan mengajak orang lain kepada keluasan Islam, termasuk kepada yang bukan Islam, adalah kewajipan setiap muslim yang mana masih ramai tidak melaksanakannya. Beliau menyeru hadirin agar terus belajar kaedah-kaedah penting untuk membolehkan mereka mampu berdakwah kepada masyarakat bukan Islam.

“Di masjid ini pun kami sering juga melaksanakan ceramah dan latihan dalam perbandingan agama untuk merangsang jamaah kami supaya berani berdakwah. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada HALUAN yang melaksanakan forum ini berselari dengan hasrat kami dan JAKIM akan terus memberikan kerjasama kami,” berkata Ustaz Abdul Manaf yang juga Imam Besar Masjid Putra.

Penceramah pertama, Mohamad Shariff Ghani berkata orang India Malaysia tidak membenci orang Islam tetapi tidak memahami resam agama Islam itu sendiri. “Persepsi bahawa mereka benci kepada Islam tidak benar. Tapi oleh kerana mereka tidak memahami risalah Islam, maka itu boleh membibitkan permusuhan yang lebih berbentuk perkauman daripada keagamaan. Ini semua kerana kita tidak ambil peluang bercerita Islam kepada mereka,” jelas beliau yang merupakan Setiausaha Agung Majlis Madrasah India Muslim Malaysia.

Penceramah kedua pula berpendapat warga Melayu Islam harus ikhlas melakukan introspeksi diri. Bazeer Ahmed Mohamed Ibrahim, ahli kehormat HALUAN dan penasihat Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia berkata umat Islam Malaysia amat terbiasa melakukan dakwah sesama Islam tetapi tidak tahu cara hendak membimbing orang lain untuk masuk kepada Islam. “Faktor prejudis dan tanggapan negatif berdasarkan warna kulit dan agama anutan sering menjadi alasan dan dinding pemisah untuk menyampaikan risalah Islam. Kenapa ini berlaku sehingga kini?” tanya beliau.

“Kita kena cari jalan untuk atasi ini semua, kerana ia penghalang kepada orang bukan Islam untuk memahami Islam. Kita bukan nak ajak mereka jadi Melayu. Bukan. Mereka boleh saja tetap jadi India, Cina atau Punjabi tetapi yang kita nak adalah agar mereka mendapat peluang mengenali Islam secara jelas”.

Turut hadir di majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Presiden HALUAN, Prof Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Md. Yassin dan Naib Presiden 2 HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md. Yudin. Peserta yang ditemui selepas majlis forum tersebut melahirkan kepuasan mereka kerana memperolehi pendedahan yang baru dalam arena dakwah rentas-agama. Mereka berhasrat untuk menyertai program dan kursus lanjutan selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh pengurusan forum tersebut, Kelab HALUAN Fitrah, di masa depan.