fbpx

Bilik Gerakan Banjir HALUAN Kelantan Ditutup, Terengganu Tidak Berubah

Bilik Gerakan Banjir HALUAN Kelantan Ditutup, Terengganu Tidak Berubah

Bilik Gerakan Banjir HALUAN Kelantan Ditutup, Terengganu Tidak Berubah

PASIR MAS, 29 Dis 2012 — Keadaan banjir di negeri Kelantan secara umumnya beransur pulih. Bilik gerakan banjir HALUAN Kelantan di sini telah ditutup sementara pada jam 2:00 petang tadi, berikutan perkembangan baik ini.

Bilik gerakan tersebut telah dijadikan sebagai pusat operasi bantuan banjir HALUAN Kelantan sejak empat hari lalu. Sepanjang tempoh operasi, para relawan telah berjaya menyantuni mangsa-mangsa dan menyalurkan bantuan makanan seperti gandum, beras dan gula di beberapa pusat pemindahan, termasuk Kg Sepulih di Meranti di sini. Bantuan rawatan kesihatan juga diberikan kepada penghuni pusat pemindahan dan penduduk-penduduk berhampiran yang tetap tinggal di rumah mereka.

Walau bagaimanapun, menurut YDP HALUAN Cawangan Kelantan Ustaz Mohd Noor Awang Kechik, relawan HALUAN Kelantan masih meneruskan aktiviti bantuan melibatkan kerja-kerja pembersihan rumah beberapa orang penduduk warga emas. “Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada para relawan dan semua pihak yang terlibat dalam misi bantuan ini, jazakumullahu khairan,” kata beliau.

Menurut laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) jam 11:30 pagi tadi, hanya enam pusat pemindahan banjir masih dibuka dengan menempatkan 2714 penduduk kebanyakannya di Jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, keadaan banjir di negeri Terengganu masih tidak banyak berubah terutamanya di beberapa kawasan sekitar Kuala Terengganu dan Dungun. Masih terdapat lebih 17,000 mangsa banjir ditempatkan di 49 pusat-pusat pemindahan sehingga tengahari ini. Menurut Ketua Misi Bantuan Banjir HALUAN Terengganu, Mohd Jamil Muda, relawan HALUAN sudah mula membantu membersih beberapa rumah penduduk dan juga bangunan Sekolah Menengah Tok Jiring di Kuala Terengganu.

Biro Misi Kemanusiaan HALUAN tetap dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk mengerah para relawan dari negeri lain bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu, walaupun tenaga relawan tempatan sudah memadai bagi menangani keadaan semasa.


Laporan Dr Baharuddin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN.