fbpx

Relawan HALUAN Memasuki Sittwe di Myanmar

Relawan HALUAN Memasuki Sittwe di Myanmar

Relawan HALUAN Memasuki Sittwe di Myanmar

SITTWE, MYANMAR 28 Dis 2012 – Pasukan Biro Misi Kemanusiaan HALUAN berjaya tiba di Sittwe, Myanmar untuk menyantuni para mangsa keganasan penghapusan etnik di sini.

Pasukan yang diketuai oleh Encik Abdul Halim Kudri dan disertai oleh wartawan mediaHALUAN Encik Umar Ismail itu terkandas beberapa hari di Yangoon sebelum mendapat kebenaran memasuki zon konflik tempat persembelihan umat Islam Rohingya oleh golongan ekstremis Buddha di wilayah Rakhine.

“Alhamdulillah kami dah selamat sampai Sittwe. Kami sudah ziarah beberapa kem pelarian mangsa termasuk kem yang dibina oleh NGO PKPU dari Indonesia dan kem IHH dari Turki. Esok kami akan ziarahi beberapa lagi kem untuk tinjau keadaan pelarian dan mengenalpasti kemudahan yang mereka perlukan untuk hidup di sini. Yang jelas mereka tinggal sehelai sepinggang dan hidup amat melarat. Mereka tiada daya melainkan bantuan kemanusiaan boleh sampai ke sini,” berkata Encik Halim.

Pasukan HALUAN sukar menghantar laporan melalui internet kerana jaringan telekomunikasi di sana sangat lemah.

Menurut Encik Abdul Halim, pasukan itu telah melawati tiga kem pelarian berasingan untuk mengedarkan makanan. Semalam, mereka menziarahi Pejabat Pemerintah Rakhine dan memberikan sedikit sumbangan kepada mereka untuk tujuan taktikal di mana mereka telah mengeluarkan sijil kepada HALUAN sebagai pengiktirafan bantuan yang diberi.

“Kita kena fahami budaya dan tatacara mereka, dan ini perlu untuk kita dapat terus santuni mangsa penduduk Islam yang menjadi pelarian di bumi sendiri. Jaringan dengan pihak pemerintah di sini perlu untuk memudahkan kita bergerak ke kawasan merah nanti; kawasan yang amat merbahaya dihuni penganut Buddhist ekstremis yang amat anti-Islam kerana kejahilan mereka,” sambung Encik Halim.

Hari ini, pasukan HALUAN akan kembali ke beberapa kem utk melihat permulaan projek shelter atau pondok untuk pelarian. Ini termasuklah pembinaan tandas dan telaga tiub serta bantuan makanan asas. HALUAN telah menyampaikan sumbangan derma rakyat Malaysia hampir USD12,000 untuk tujuan tersebut.


Laporan Umar Ismail di Sittwe.