fbpx

Persatuan Mahasiswa Kelantan UM Bantu Misi Banjir

Persatuan Mahasiswa Kelantan UM Bantu Misi Banjir

Persatuan Mahasiswa Kelantan UM Bantu Misi Banjir

SUNGAI DUA, BENTONG, 22 Jan 2022  –  Persatuan Mahasiswa Kelantan (PMK), Universiti Malaya menyertai kerja kesukarelawan misi banjir di Sungai Dua digelar program ‘Gotong-Royong Tautan Kasih’. Pengarah program persatuan tersebut, Cik Nur Azreen Aleesa Azani yang merupakan pelajar Fakulti Pengajian Islam Tahun dua terlebih dahulu menyusun gerak kerja untuk bekerjasama dengan HALUAN. 

Objektif kerjasama dalam misi banjir ini adalah untuk melahirkan mahasiswa/i yang prihatin dengan kebajikan masyarakat luar, meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa/i tentang kepentingan dalam membantu masyarakat yang memerlukan, seterusnya melahirkan mahasiswa/i yang mempunyai sifat empati dan simpati  terhadap masyarakat yang terkesan dengan banjir tanpa membezakan etnik atau agama mereka.

Kerja pembersihan kali ini tertumpu di balai raya Kampung Sungai Dua dan sebuah rumah kayu usang milik seorang warga emas. Wakil mahasiswa/i persatuan tersebut terdiri daripada 15 orang termasuk seorang mahasiswa bukan muslim keturunan India dan terdiri daripada lima lelaki dan sepuluh perempuan manakala wakil daripada pihak HALUAN seramai 12 orang yang terdiri daripada tiga lelaki dan 12 perempuan.

Kehadiran Nur Azreen  yang mahir berbahasa Mandarin memudahkan lagi proses komunikasi dengan ahli jawatankuasa masyarakat cina di kampung itu. Kerja pembersihan bermula pukul 10.00 pagi dengan pembahagian dua kumpulan. Kumpulan pertama membersihkan bahagian dapur dan tandas rumah Encik Wong Aai Loew manakala kumpulan kedua membersihkan balai raya yang dipenuhi barang dan keadaan lumpurnya yang kering di lantai serta dedaunan tersekat di jaringan dinding besi balai tersebut. Keadaan barang yang berat yang terdiri daripada perabot, kekuda bumbung yang panjangnya 20 kaki, alat pemadam api, kerusi meja, serpihan dinding yang pecah, barangan hiasan Tahun Baharu Cina di dalam dewan seperti tanglung dan mentol lampu yang turut rosak telah dikeluarkan. Turut hadir lima orang wakil penduduk kampung  yang turut membersihkan balai raya tersebut. Kerja pembersihan tamat pada pukul 2.00 petang.

Pada pukul 2.30 petang, program diakhiri dengan sesi cabutan bertuah dan penyerahan plaque kepada pihak HALUAN. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama rapat dengan mahasiswa/i untuk bersama-sama memainkan peranan dalam amal Islami dengan menghidupkan peradaban manusia dan semangat amal  jama’i demi membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu dan dinamik dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam kehidupan seharian. Mahasiswa yang mempunyai sifat simpati dan empati akan melahirkan generasi yang mempraktikkan agama, mencintai ilmu dan berakhlak mulia. 


Laporan Nurasna Abd Halim, Setiausaha Biro HALUAN Fitrah, Cawangan WP Kuala Lumpur