fbpx

Perginya Serikandi Medikal HALUAN

Perginya Serikandi Medikal HALUAN

Perginya Serikandi Medikal HALUAN

BESUT, TERENGGANU, 10 Mei 2017 — HALUAN mengucapkan takziah kepada ahli HALUAN Perak, Ustaz Ahmad Din serta keluarga atas kematian anakanda mereka Dr Nurul Huda yang dipanggil pulang ke rahmatullah akibat kemalangan di Kg Fikri, Setiu lewat petang semalam.

Almarhumah dalam perjalanan pulang menemui keluarga yang menetap di Kuala Terengganu selepas menamatkan sesi on-call di Hospital USM pada malam sebelumnya.

Almarhumah Dr Nurul merupakan pegawai perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan sedang menyambung pengajian dalam program Masters di Hospital USM untuk menjadi pakar pediatrik (kanak-kanak). Beliau baharu selesai menduduki peperiksaan tahun tiga minggu lepas.

Rata-rata yang mengenali beliau merasa amat terkejut menerima berita tersebut, namun kemuliaan budi pekerti dan akhlak almarhumah merupakan perkara yang amat memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang pernah berurusan atau mengenali beliau.

“Dr Nurul merupakan seorang yang merendah diri, lemah lembut dan amat bertanggungjawab. Kita telah kehilangan seorang yang berpotensi menjadi pakar kanak-kanak cemerlang pada masa hadapan,” menurut Dr Nor Zubaidah Kadir, pakar kanak-kanak di HSNZ dalam perkongsian beliau dalam group Whatsapp yang telah tular.

Kakak almarhumah menyatakan adiknya merupakan seorang yang istiqamah dan menghafal surah-surah al-Quran, antaranya al-Mulk, tekun dengan ilmu dan sentiasa menanamkan niat bekerja sebagai doktor kerana Allah dan berusaha untuk memperolehi kepakaran dalam bidang perubatan sebagai jihad demi deen.

Wan Nurhidayah Wan Pauzi dari Kajang, yang membahasakan dirinya Kak Ida, menukilkan bait-bait eulogi mengimbas kenangan indah beliau bersama almarhumah.

“SubhanAllah. Tiada yang tidak indah tentang beliau. Segalanya indah. Tutur katanya, akhlaknya, senyumannya, solatnya, Qurannya, didikannya, persahabatannya, masakannya, layanannya.. semuanya masih ku ingati dan ku amati satu persatu.. wanita solehah ini punya kekuatan tahajjud yang luar biasa.. SubhanAllah.. kerana itu Allah teramat rindu untuk bertemu dengannya.”

Beliau seterusnya menyeru agar pemergian Dr Nurul Huda bukan sekadar ditangisi, tetapi keperibadiannya diteladani.

“Inilah akhak wanita Muslimah yang harus dicontohi. Yang harus dicemburui.. Kerana ia memberi kesan mendalam di dalam diri orang-orang yang ditinggalkan.. Hidup di bumi Allah dengan mengorbankan diri memanfaatkan orang lain, itulah resepi kebahagiaan sebenar wanita yang cintakan Allah, Rasul dan agama Islam..”

Salah seorang kenalan almarhumah, Adilah Fatimah meninggalkan dua keping gambar terakhir bersama Dr Nurul di Facebook beliau dengan catatan: “Sepanjang pengenalan seorang yang sangat humble, sentiasa tersenyum dan tak pernah meninggi diri walaupun dia adalah seorang yg sangat hebat menambah nilai dalam hidup orang lain.”

Almarhumah mempunyai tiga orang cahaya mata, berusia lapan tahun dan sepasang kembar berusia tiga tahun yang ditinggalkan bersama suami, Ustaz Azizul Hassan. Solat jenazah telah disempurnakan di kampung suaminya, Kampung Gelam Mas, Besut pada jam 10.30 pagi dan disemadikan pada jam 11.30 pagi tadi.

Ahli-ahli HALUAN dari negeri Perak dan Terengganu turut hadir memberikan penghormatan terakhir buat arwah.

Semoga arwah ditempatkan bersama-sama mereka yang bertakwa; dan dikurniakan ketabahan dan kesabaran kepada seisi keluarga.


Laporan Iznan Hasbullah, Editor mediaHALUAN