fbpx

Ramadan Bersama Hufaz 2017 Kembali

Ramadan Bersama Hufaz 2017 Kembali

Ramadan Bersama Hufaz 2017 Kembali

BANDAR BARU BANGI, 11 Mei 2017 — Bulan Ramadan yang istimewa kembali menemui umat Islam. Tibalah saatnya umat Islam merebut kesempatan menggandakan amalan kebaikan dan mengerat persaudaraan di kalangan mereka.

Kami di HALUAN ingin menjemput anda untuk berlumba beramal selain amalan fardiyah untuk bekalan diri sendiri. Begini caranya.

Untuk tahun ketujuh berturut-turut, HALUAN melalui kerjasama Al-Sarraa Foundation dan Jabatan Mufti Kemboja sekali lagi menganjurkan program “Ramadan Bersama Hufaz Palestin, Syria dan Kemboja” bagi meningkatkan lagi imarah Ramadan dengan membawa imam dan hufaz yang terpilih dari negera-negara berkenaan ke masjid dan surau tuan-puan.

Para imam dan hufaz ini mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri, dengan menghafal al-Quran ketika berhadapan dengan berbagai ujian, penindasan dan kemungkaran ke atas umat Islam di tempat mereka, namun tetap istiqamah dengan akhlak dan amal kebaikan yang diajarkan oleh Quran.

Dengan kehadiran mereka sepanjang bulan barakah yang terhad ini, HALUAN mengatur berbagai program untuk masyarakat umum.

Anda boleh menjemput mereka sebagai imam solat terawih, memimpin program qiyamulail, menyampaikan ceramah atau tazkirah serta perkongsian pengalaman, dan juga mengadakan klinik pengajian khas dan hafazan al-Quran di lokaliti tuan-puan. HALUAN akan turun bersama pameran dan booth untuk jualan dan derma. Orang ramai boleh menjemput mereka hadir dalam program di surau, masjid, pejabat, sekolah atau majlis-majlis keramaian yang sesuai bersempena bulan yang mulia ini.

Objektif utama HALUAN dalam melaksanakan program ini adalah supaya dapat meningkatkan semangat kebersamaan umat Islam di Malaysia dalam usaha membebaskan Masjid al-Aqsa, dengan menggalakkan mereka bersama-sama menjana dana bantuan kemanusiaan, terutamanya untuk pembelaan al-Aqsa dan umat Islam di Palestin, termasuklah di Syria dan Kemboja yang sama memerlukan. Ia juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini kepada kita berkenaan permasalahan umat Islam yang tertindas terutamanya di Palestin dan Syria secara live. Anda boleh kemukakan soalan kepada mereka.

Antara lain, sumbangan dana kemanusiaan dalam program kali ini akan disalurkan untuk misi-misi berikut:

  1. Bantuan kemanusiaan musim sejuk Kem Pelarian Palestin-Syria di Lubnan, Jordan dan Syria.
  2. Pembiayaan memasang anggota palsu untuk mangsa perang di Syria.
  3. Pembiayaan pendidikan, termasuk untuk pelajar miskin tetapi cerdik Kemboja, membantu maahad tahfiz dan sekolah agama di Kemboja, menaja sara hidup pelajar perubatan Palestin di universiti-universiti Sudan, menaja pelajar Palestin di Malaysia dan juga menaja program halakah al-Quran di Masjid Lama al-Ajmi, Gaza.
  4. Penajaan sara hidup anak-anak yatim Palestin-Syria di kem pelarian Ein Al-Hilwah, Lubnan.
  5. Bantuan pek makanan Ramadan untuk keluarga di Gaza dan Syria.

Semoga kita dapat mendapat manfaat dan keberkatan daripada kehadiran mereka di lokaliti, mencontohi mereka agar kita hidup dalam penuh kesejahteraan yang hakiki, bukan hanya dengan kesenangan harta benda dan rebutan duniawi semata-mata.

Kita berdoa agar Ramadan kali ini adalah yang terbaik bagi kita, di mana dosa-dosa kita diampunkan dan ganjaran amalan kebaikan digandakan.

Hendaknya sedikit usaha yang kita lakukan dan harta yang kita sumbangkan dapat membantu umat Islam yang memerlukan dan membebaskan al-Aqsa dan bumi Palestin daripada kejahatan rejim Zionis.

Untuk tempahan tarikh dan masa para hufaz ini, silalah hubungi HALUAN melalui kaedah berikut:

Telefon: 03 8926 8892
Whatsapp: 012 954 7861
Emel: hufaz@haluan.org.my
Facebook: haluanmalaysia

Untuk anda yang ingin terus berbakti melalui sumbangan infaq peribadi, silalah masukkannya ke akaun berikut:

Tabung Palestin HALUAN
Maybank 5644-9020-8528

atau

Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
Maybank 5622-6350-2611

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Ramadan-Palestin/Syria/Kemboja] ke unit.kewangan@haluan.org.my