fbpx

Didikan Hakiki Perlu Seiring Didikan Haraki

Didikan Hakiki Perlu Seiring Didikan Haraki

Didikan Hakiki Perlu Seiring Didikan Haraki

JITRA, KEDAH, 2 Mei 2017 – Usrah ataupun himpunan ringkas orang yang berminat mempelajari sesuatu hal agama merupakan nadi utama dalam pendidikan asuhan jatidiri seorang Muslim.

Ia perkara terpenting dan tidak boleh diabaikan sama sekali oleh para amilin Islam walau pada peringkat manapun seseorang itu berada.

Di sinilah lahirnya perkenalan (taaruf), faham-memahami (tafahum) dan bantu-membantu (takaful) demi mempraktikkan kesejahteraan Islam dalam kehidupan seseorang. Usrah haraki ini sepatutnya menjadi sumber untuk memahami Islam dengan lebih jelas, menambah ilmu yang betul serta meningkatkan gerakkerja membantu masyarakat secara mantap dan tersusun.

Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, dalam ucaptamanya bersempena Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN ke-28 di sini turut memperingatkan ahli HALUAN agar tidak mengabaikan usrah hakiki iaitu usrah keluarga. Beliau menegaskan bahawa setiap keluarga perlu menjadikan usrah hakiki ini sebagai aktiviti rutin dalam berkeluarga.

“Kita perlu memastikan agar usrah hakiki ini akan mampu melahirkan generasi yang tidak menentang Islam, generasi yang dapat menghiasi diri dengan sifat-sifat keperibadian Islam yang sebenar lagi sempurna dan sebaik-baiknya dapat melahirkan penyokong, pekerja dan pemimpin masa hadapan,” jelas beliau.

Firman Allah SWT dalam surah at Tahrim (66) ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan ahli kamu dari api neraka.”

Ayat ini menegaskan bahawa seseorang Muslim Mukmin perlu menghindari dirinya dan keluarganya daripada kemurkaan Allah SWT. Sehubungan dengan ayat ini, usrah hakikilah atau usrah di dalam keluarga yang akan menjadi institusi paling asas dalam keluarga kita dalam memperkasakan pendidikan dan kefahaman agama. Ia boleh dilaksanakan secara formal mahupun diperbanyakkan aktiviti informal yang melibatkan kebersamaan ahli keluarga dalam aspek pendidikan.

Proses usrah ini adalah di antara tujuh perkara dalam usaha memperkasakan kefahaman pendidikan Islam. Usaha lain adalah seperti pendidikan dzatiyah, sepuluh muwasafat, wasail pendidikan, sistem pendidikan, kompetensi anggota dan sistem pengurusan. Lantas semua ahli HALUAN diseru agar memberikan perhatian yang serius terhadap aspek pendidikan berbentuk usrah kerana di sinilah terletaknya punca kekuatan sesuatu organisasi.

“Apabila ahli-ahlinya mantap, maka dengan sendirinya organisasi berkenaan menjadi kuat dan teguh. Barulah kita dapat berkhidmat kepada masyarakat dengan betul, ikhlas dan teratur,” jelas beliau lagi.


Laporan Nurul ‘Izzah Baharudin, Wartawan mediaHALUAN