fbpx

Tingkatkan Dana Untuk Masa Hadapan

Tingkatkan Dana Untuk Masa Hadapan

Tingkatkan Dana Untuk Masa Hadapan

JITRA, KEDAH, 30 Apr 2017 – NGO yang menyantuni masyarakat seperti HALUAN memerlukan dana yang besar untuk meraih kejayaan yang berkesan.

Justeru itu, ahli HALUAN perlulah memberi perhatian sewajarnya untuk mempertingkatkan kutipan dana untuk kos pengurusan, bayaran imbuhan dan pembelian alatan untuk operasinya. Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman menegaskan bahawa jika HALUAN ingin terus berdaya saing, maka tindakan-tindakan proaktif perlu dirancang sebaik-baiknya bagi mendapatkan sumber dana yang lebih padu. Beliau menekankan beberapa perkara yang perlu diberikan pertimbangan sewajarnya iaitu tentang pengurusan kewangan yang telus, tabung-tabung derma, keusahawanan dan perniagaan serta gerakan koperasi.

“Kewangan adalah aspek yang amat sensitif. Impak besar mungkin berlaku kepada organisasi jika salah tadbir urus kewangannya. Walaupun kewangan kecil atau sedikit nilainya, ia perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur-prosedur yang ditetapkan. Selain itu, perbelanjaan juga perlu dibuat secara berhemah. Saya mencadangkan agar diadakan kursus-kursus berkaitan pengurusan kewangan supaya HALUAN mempunyai ahli-ahli yang mahir dalam bidang ini,” katanya semasa ucapan dasar sempena Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN ke-28 di sini.

Beliau menyatakan lagi dengan bangga bahawa ramai daripada kalangan ahli HALUAN yang menjadi usahawan di merata tempat di Malaysia. Beliau berharap agar ada di kalangan mereka akan bergabung untuk menjalankan projek-projek yang lebih besar dan memberikan keuntungan yang lebih tinggi, sambil mengucapkan tahniah kepada usahawan ahli HALUAN yang telah berjaya.

Beliau menyeru agar semua ahli HALUAN menjadi ahli koperasi terutamanya koperasi-koperasi gabungan yang terdapat di seluruh negara. “Saya berharap koperasi gabungan ini dapat mencari peluang-peluang pelaburan untuk menjana sumber kewangan yang lebih banyak lagi,” katanya.

Dr Abdullah Sudin berkata bahawa antara sumber kewangan terbesar untuk aktiviti kemasyarakatan HALUAN adalah derma daripada pihak luar, orang awam dan badan-badan tertentu. Beliau mengamanahkan ahli-ahli HALUAN untuk berusaha menambahkan tabungan ini supaya lebih banyak projek dapat dilaksanakan. Beliau menyatakan lagi bahawa derma yang diterima adalah amanah daripada penderma untuk disampaikan kepada yang memerlukan.

Laporan Nik Ali Imran Nik Kamaruzaman
Wartawan mediaHALUAN