fbpx

Perasmian Seminar Keusahawanan dan Peluang Perniagaan 2005

Perasmian Seminar Keusahawanan dan Peluang Perniagaan 2005

Perasmian Seminar Keusahawanan dan Peluang Perniagaan 2005

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Yang berbahagia tuan Pengerusi Majlis, Dr. Hj. Azizan Ahmad, yang dikasihi Pengerusi Seminar Hj. A Aziz Mat Ali, yang dihormati En. Khairul Anuar selaku Pengarah Seminar, para pembentang kertas kerja, Barisan Exco HALUAN Pusat dan Negeri, para AJK penganjur seminar dan yang diraikan tuan-tuan dan puan-puan para peserta Seminar Keusahawanan & Peluang Perniagaan 2005, Assalamua’laikum wbth dan salam Aidilfitri.


Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama melahirkan rasa syukur kepada Allah swt, yang telah memberi kemampuan kepada kita untuk berkumpul dan bersidang di dewan Hotel Putra Palace Kangar ini, semoga usaha dan kehadiran kita ini mendapat keberkatan Allah swt.

Selawat dan salam kita tujukan kepada junjungan besar Rasulullah saw, rasul contoh dan suri teladan di sepanjang jalan kehidupan kita, samada kita sebagai manusia biasa mahupun dalam konteks sebagai seorang usahawan dan professional.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya mengucapkan Selamat Datang kepada kesemua peserta ke Seminar Keusahawanan dan Peluang Perniagaan 2005. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya bagi Negeri Perlis dan AUFA Management kerana sudi bekerjasama dengan HALUAN menganjurkan Seminar ini. Sesungguhnya jasa & peranan MARA amat besar dan penting dalam membantu pembangunan ekonomi bumiputra tempatan. HALUAN juga mengucapkan terima kasih kepada pihak agensi-agensi kerajaan yang lain seperti MATRADE, SMIDEC, MTDC dan para pembentang kertas kerja  yang turut bersama berganding bahu memberi sumbangan dalam menjayakan seminar ini.  

Para peserta sekalian,
Seminar yang kita anjurkan ini adalah kesinambungan dan rentetan daripada penganjuran seminar-seminar usahawan dan profesional yang lalu. Tahun yang lepas kita  berhimpun di Kuantan, Pahang Darul Makmur, manakala sebelum itu kita telah berkampung di Johor Bharu, Johor Darul Takzim, dan tahun ini HALUAN membina rangkaian kerjasama dengan Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perlis, mempertemukan para usahawan dan professional Melayu untuk terus mempertingkatkan daya saing pembangunan agama, bangsa dan negara.

“Ke Arah Memantapkan Usahawan dan Profesional yang Berwibawa” menjadi tema kepada seminar kita pada tahun ini. Sekali lagi kita mengambil pendekatan menggabungkan para usahawan dan profesional duduk bersama-sama, berbincang, bertukar-tukar fikiran dan maklumat dan seterusnya merangka pelan tindakan yang relevan dan mampu dilaksanakan, samada perancangan jangkamasa pendek mahupun jangkamasa panjang. Objektif utama ini adalah selari dengan hasrat negara untuk mempeluaskan empayar penguasaan ekonomi di kalangan bumiputra Muslim.

Sidang hadirin sekalian,
Kemerdekaan yang kita perolehi belum tentu dapat menjamin penerusan penguasaan hak majoriti bumiputra tempatan samada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik jika bumiputra itu sendiri tidak membuat persediaan yang sebaiknya dalam mengharungi era globalisasi masakini.

Kita mengimbau kembali sejarah negara, bagaimana kerajaan British di suatu masa dahulu telah memecahkan peranan dan fungsi ekonomi dan sosial mengikut kaum. Orang Melayu digambarkan sebagai masyarakat kelas ke 3 yang duduk di kampung-kampung terlibat dalam kegiatan ekonomi pertanian sara diri, bangsa India ditempatkan dalam ladang-ladang estet getah sebagai buruh kasar dan kaum Cina menguasai sektor perdagangan dan perniagaan. Secara tidak langsung telah mewujudkan ketidakadilan dalam bidang sosial dan ekonomi. Kemuncaknya berlakulah Tragedi 13 Mei 1969.

Bagi menghadapi situasi tersebut, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang mempunyai objektif serampang 2 mata. Pertama membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Kedua, menyusun semula struktur masyarakat supaya setiap kaum tidak dikenali mengikut fungsi ekonomi masing-masing. Dengan lahirnya DEB, hasrat negara untuk membawa masyarakat kepada perpaduan nasional khususnya mula membuahkan hasil. Penglibatan bumiputra pula dalam kegiatan ekonomi berasaskan perdagangan dan membangunkan generasi melayu profesional semakin terbuka dan berkembang.

Usaha pertama telah berjaya dilaksanakan, pada tahun 1971, kadar kemiskinan 49.3%, dikurangkan sekitar 5% (2002). Dan dalam fasa RPEJP yang ke 3, negara memberi fokus  daripada pembasmian kemiskinan  tradisional kepada pembasmian kemiskinan tegar.
Di satu aspek lain lagi, penyusunan semula masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada 3 sasaran:

  1. 30% malay commercial on industry community
  2. 30% penglibatan bumiputra dlm 8 bidang professional utama negara
  3. 30% penglibatan bumiputra dlm ekuiti perniagaan

Secara umumnya penglibatan bumiputra dalam 8 bidang profesional berada dalam tahap yang baik, iaitu arkitek, akauntan, doktor perubatan, doktor veterinary, doktor gigi, jurutera, juruukur & peguam. Namun dalam bidang peguam dan akauntan kita masih ketinggalan kebelakang.

Dalam bidang ekuiti dan “commercial on industry community”, usaha ini  masih terlalu kecil peratusnya dan memerlukan penglibatan yang lebih agresif dari kalangan bumiputra itu sendiri.

Tuan-tuan dan puan puan sekalian,
Atas kesedaran dan senario ini,  maka HALUAN mengharapkan agar dapat turut sama  memberi sumbangan dan berperanan dalam melahirkan usahawan & profesional yg berwibawa sejajar dengan semangat dan usaha DEB. Fasa ke 3 RPEJP dari tahun 2001-2010 menuntut kesungguhan dan keseriusan kita. Kepada golongan usahawan dan bakal usahawan, peranan anda amat penting. Maka persediaan anda juga menuntut kepada persiapan yang rapi.   Seorang usahawan yang berwibawa mampu mengintergrasi sifat inovatif, kreatif, bijak menambahnilai sesuatu idea, berani mengambil risiko dan tidak mudah mengenal erti kegagalan. Jika persediaan ini rapuh maka mana mungkin hasrat negara dapat dicapai dalam memperkembangkan pengaruh bumiputra dalam sektor ekonomi. Sebagai contoh, kerajaan mensasarkan RM120 BILION TOTAL OUTPUT DARI sektorPerusahaan Kecil dan Sederhana atau 50% DARI SEKTOR PERKILANGAN. Sasaran ini amat besar, justeru para usahawan perlu memainkan peranan mereka secara berkesan.

Sidang peserta seminar yang dihormati,
Perjuangan usahawan dalam sektor perniagaan khususnya yang berskala kecil dan sederhana amat mencabar. Dalam kajian yang di buat mengenai “Small & Medium-Sized Enterprises In Malaysia – Development Issues”, oleh Dr. Mohd Khairuddin Hashim dan Dr. Syed Azizi Wafa menggariskan beberapa cabaran utama yang menghalang perkembangan keusahawanan.

  1. Kesukaran mendapatkan modal dan kemudahan kredit
  2. Kekurangan penglibatan pekerja-pekerja yang mahir
  3. Kekurangan dan kesukaran untuk mendapatkan bahan-bahan mentah
  4. Infrastruktur yang tidak mencukupi
  5. Kelemahan dalam kepakaran pengurusan dan teknikal
  6. Kelemahan dalam teknik pemasaran dan maklumat peluang pemasaran
  7. Penggunaan teknologi yang sangat terhad

Kajian mengenai Kelemahan Fungsi Pengurusan dalam sektor Perniagaan Kecil & Sederhana dari 193 responden.

NoRuang Lingkup Fungsi PengurusanRespondenPeratus(%)
1Pengurusan Tenaga Manusia6935.8
2Pemasaran4322.3
3Operasi / Pengeluaran3719.2
4Kewangan3116.1
5Pengurusan Strategi115.6
6Pengurusan Umum / Am21.0
 JUMLAH193100

Tuan-tuan & puan-puan,
HALUAN melihat bahawa nilai KEWIBAWAAN bagi setiap usahawan dan professional perlu memenuhi beberapa kriteria.

Pertama, ditunjangi oleh keimanan kepada ALLAH swt. Sirah Rasulullah saw menjadi batu asas kepada ciri ini. Ciri ini turut diikuti oleh Saiditina Khatijah ra, Abu Bakar as Siddiq ra, Uthman Bin Affan ra dan Abdul Rahman bin Auf ra dalam aspek budaya usahawan cemerlang. Sirah ini memberi suatu dimensi kepada kita bahawa kejayaan mereka tidak terpisah dengan asas-asas pengabdian diri kepada Allah swt.

Kedua, ialah kualiti personaliti, yang terdiri daripada kemahiran komunikasi, pengurusan dan teknikal. Selain itu, setiap daripada kita haruslah mempunyai syahsiah dan akhlak yang bersumberkan kepada keimanan yang teguh kepada al-Khaliq.

Manakala kriteria yang ketiga ialah setiap daripada kita mestilah juga akhirnya memberi sumbangan kepada masyarakat. Aspek sumbangan ini meliputi kewangan, nasihat dan bimbingan, tenaga, kepakaran, dan sebagainya.

Ciri-ciri ini sangat penting di dalam masyarakat bumiputra agar mereka mempunyai lebih daya saing dan tidak terus digambarkan sebagai golongan penerima subsidi semata-mata. Nilai inilah yang perlu diterapkan agar imej usahawan dan professional bumiputra berada pada landasan dan paradigma yang betul.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menghayati sebuah Hadith Rasulullah saw, di mana Rasulullah saw telah membahagikan manusia kepada empat golongan :

  1. Golongan berilmu dan berharta;
  2. Golongan berilmu tetapi tiada harta;
  3. Golongan berharta tetapi tanpa ilmu; dan
  4. Golongan yang tiada berilmu dan  juga tiada berharta.

Marilah kita membina golongan pertama iaitu berilmu dan berharta yang dikira sebagai golongan terbaik di kalangan manusia.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan ini merasmikan Seminar Keusahawanan dan Peluang Perniagaan 2005 ini.

Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman
Presiden HALUAN Malaysia.