fbpx

HALUAN Gesa Kembalikan Maruah Islam

HALUAN Gesa Kembalikan Maruah Islam

HALUAN Gesa Kembalikan Maruah Islam

PERTUBUHAN Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) menggesa umat Islam di seluruh dunia dan negara ini supaya berjuang untuk mengembalikan maruah Islam yang semakin dicalari bangsa lain kebelakangan ini.


Menurut Presidennya, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman, keberanian akhbar harian Denmark, Jyllands-Posten yang menyiarkan 12 karikatur menghina Nabi Muhammad SAW itu menunjukkan kelemahan umat Islam. Malahan bukan sahaja isu karikatur, tetapi banyak lagi isu dan hal ehwal Islam semakin dicabar dan dipertikaikan oleh Barat dan golongan anti agama.

Sehubungan itu, Dr Abdullah mengingatkan umat Islam bahawa kejadian terbabit sepatutnya memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat supaya memperbaiki imej Islam yang sangat lemah dan boleh dipermainkan pada hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa umat Islam kembali mengambil Islam sebagai cara hidup sebenar sekiranya mahu muncul sebagai umat yang kuat dan tidak mudah dipandang lekeh oleh masyarakat dunia.

“Oleh sebab itu, kita harus berusaha untuk mengembalikan maruah dan keagungan Islam pada tempat yang sebenarnya. Kita tidak mahu masyarakat dunia melihat kelemahan Islam hingga boleh mempermainkan  Rasulullah SAW,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Abdulah berkata, kejadian yang mengguris hati umat Islam seluruh dunia itu juga memperlihatkan secara jelas double standard (sifat talam dua muka) Barat yang kononnya memperjuangkan persamaan hak.

Namun, katanya, pada masa sama Barat menghina bangsa lain dan tindakan itu menunjukkan Barat bukan tamadun baru yang harus diberi pengiktirafan kerana tidak menghormati nilai-nilai yang mereka sendiri laungkan sebagai nilai universal.
“Di satu pihak lagi, Barat juga memperlihatkan apa yang mereka jadikan falsafah hidup itu tidak betul dan tidak memberi apa-apa makna,” katanya ketika ditemui di Pejabat HALUAN di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Terdahulu Exco Pusat dan ahli HALUAN negeri menyertai Perhimpunan Aman di kedutaan Denmark selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, 10 Februari lalu bagi membantah tindakan Jyllands-Posten yang menyiarkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW dalam pelbagai keadaan.

Dalam pada itu, Dr Abdullah menyifatkan perhimpunan terbabit sebagai tindakan wajar dilakukan bagi menyatakan pendirian umat Islam kepada dunia dan sikap tidak berdiam diri mereka apabila maruah Islam dihina.

“HALUAN juga harus menyatakan kepada dunia bahawa kita bersama umat Islam demi mempertahankan hak, maruah dan harga diri sebagai penganut Islam seperti kata Saidina Ali, ‘To prove your existence say  the truth.’

“Sekurang-kurangnya umat Islam mempertahankan hak dan harga diri dengan menyatakan sesuatu termasuk menggunakan tangan (kuasa) dan mulut (secara lisan) sebagai tanda ketidaksetujuan terhadap apa yang dilakukan orang lain itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan usaha itu berbentuk jangka pendek dan usaha jangka panjang secara terancang perlu dilakukan ke arah membina generasi serta tamadun yang boleh menerajui dunia pada hari ini.