fbpx

Menyebarluaskan Dakwah dan Tarbiah Kepada Masyarakat

Menyebarluaskan Dakwah dan Tarbiah Kepada Masyarakat

Menyebarluaskan Dakwah dan Tarbiah Kepada Masyarakat

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) Ke-17 pada 26 Mac lalu mencatat sejarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sendiri apabila Presidennya, Dr Abdullah Sudin sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden bertajuk “Menyebarluaskan Dakwah dan Tarbiah Kepada Masyarakat,” menyeru dan mengarahkan ahli pertubuhan itu supaya keluar berdakwah kepada  masyarakat secara menyeluruh dan terancang.


Ikuti wawancara lanjut Editor Majalah HALUAN, Lajarudi Lajahidi dan Arif Awang bersama Dr Abdullah Sudin mengenai seruan yang disifatkan pemerhati sebagai amanat penting dan selari dengan perkembangan semasa.

Boleh Dr ulas secara lebih lanjut mengenai seruan kepada ahli HALUAN supaya keluar berdakwah kepada masyarakat?
Usaha berdakwah ini perlu supaya masyarakat dapat memahami Islam yang sebenar. Kita tidak mahu masyarakat memahami Islam dalam erti kata yang sempit. Jadi, seruan kita adalah menyeru ahli-ahli HALUAN berdakwah kepada masyarakat agar kita dapat mendekati masyarakat menerusi wadah HALUAN melalui perkhidmatan. Membantu orang miskin dan anak yatim, itu juga sebahagian daripada Islam. Soalnya, kita nampak Islam itu sembahyang, puasa, zakat dan haji, tapi kita lupa bahawa Islam juga adalah menjaga kepentingan anak yatim dan orang miskin. Ayat al-Quran ada menyatakan, jika tidak menjaga kebajikan golongan ini, kita dianggap sebagai pendusta terhadap agama. Maknanya, dengan kata lain kita dianggap berbohong sebagai orang yang beragama Islam sedangkan kita tidak mengambil berat tentang orang miskin dan anak yatim. Dalam konteks semasa, ini adalah satu angkubah sosioekonomi.

Untuk menjadikan kita umat Islam yang sebenarnya, maka kita mesti mengambil kira angkubah-angkubah sosioekonomi ini. Jangan kita nak jadi Islam hanya mengambil kira angkubah spiritual semata-mata. Itu pun sebahagian dari Islam, tapi kita tidak boleh mengetepikan angkubah sosioekonomi sehingga Allah menyatakan ‘Kamu dusta…’ sebabnya tidak mengambil tahu keadaan orang miskin dan anak yatim.

Oleh sebab itu, bila kita sebut dakwah kepada masyarakat, aspek-aspek ini harus diberi perhatian termasuk soal pendidikan, kebajikan dan kefahaman yang menyeluruh. Perlu ada perkhidmatan-perkhidmatan yang dianjurkan oleh Islam. Pendek kata, bekerjasama dalam kerja-kerja kebajikan yang menyeluruh. Angkubah spiritual itu juga kebajikan, tapi kita harus juga membuka kerjasama tadi  atau tolong-menolong dalam aspek angkubah sosioekonomi.

Bukankah semua aktiviti yang dilakukan ahli-ahli HALUAN selama ini boleh dianggap telah pun menepati seruan tadi?
Tidak dinafikan, kerja-kerja seperti ini memang sudah ada. Tapi, apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah kerja itu harus dilaksanakan secara lebih terancang supaya ia lahir daripada team work, bukan daripada kerja-kerja peribadi. Maka, kita akur semua itu sudah ada dan sudah bagus, tapi yang kita nak ialah gerak kerja menerusi satu perancangan yang tersusun dan berjalan rapi hingga sampai kepada masyarakat serta berjaya membina imej Islam. Gerakerja ini juga bukan sekadar aktif di HALUAN Pusat tetapi turut diaktifkan oleh peringkat HALUAN Negeri dan Daerah, Insya Allah.

Adakah seruan ini hanya ungkapan biasa atau satu arahan tegas kepada ahli-ahli?
Ia memang satu seruan dan arahan yang jelas serta tegas kepada ahli. Semua ahli seharusnya bergerak dan bekerja keluar mendekati masyarakat. Kita tidak boleh mengukur kekuatan kita dengan hanya bekerja sekitar dalaman kita saja. Dengan bergerak keluar barulah kita mendapat satu ukuran tahap keupayaan kita.

Dalam Ucapan Dasar Presiden, Dr ada menyentuh mengenai sejarah mula pertubuhan ini hingga sekarang. Apa kaitan sejarah itu dengan gerak kerja ahli?
Saya ingin menjelaskan kepada ahli bahawa di sana terdapat sejarah HALUAN yang tersendiri, bukan lahir secara tiba-tiba atau kebetulan. Kita lahir dari suatu rentetan sejarah atau ada asal usulnya. Kita lahir dari satu perancangan dan pelaksanaan kerja berbentuk dalaman yang telah berjalan lebih kurang 30 tahun. Sebab itu, kita harus melaksanakan kerja bukan saja tertumpu pada dalaman, tetapi juga perlu keluar kepada masyarakat umum.

Apa pula rasionalnya Dr meletakkan sasaran lima tahun (2006-2010) untuk tempoh pencapaian kegiatan dakwah dan tarbiah?
Lima tahun itu merupakan satu jangka masa perancangan biasa. Kita tidak mempunyai apa-apa maksud di sebalik lima tahun itu. Mana-mana perancangan termasuklah Rancangan Pembangunan Ekonomi Negara, biasanya juga lima tahun sekali. Kita letakkan tempoh lima tahun itu bertujuan untuk melihat pencapaian pertubuhan ini dari segi kerja dan objektif yang digariskan serta menilai semula apa yang perlu diperbaiki.

Apa istimewanya lima tahun itu?
Dalam tempoh lima tahun kita mengharapkan HALUAN dapat masuk kepada masyarakat dan setidak-tidaknya boleh melihat nisbah kita dalam masyarakat. Sebab dalam masyarakat ada golongan profesional. Aspek komposisi golongan ini, ada yang bumiputera dan bukan bumiputera. Banyak bidang profesional yang masih dikuasai oleh bukan bumiputera. Kalau kita andaikan bumiputera itu Muslim, maka penyumbang golongan profesional ini masih lagi bukan daripada kalangan orang Islam. Kita ada anggota-anggota yang komited dengan Islam, maka kita mengharapkan supaya golongan profesional ini terlibat dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiah.  

Anggaran yang perlu dicapai?
Sekarang ini, berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8), golongan profesional bumiputera lebih kurang 32 peratus. Maknanya, kalau kita dapat capai dalam tempoh lima tahun sekitar 2 ke 3 peratus di kalangan ahli kita, itu sudah satu pencapaian. Ini yang perlu kita berikan perhatian. Sebab yang membina masa depan sesebuah ekonomi adalah golongan profesional.

Menyentuh mengenai pekerja sosial, apakah ciri pekerja yang HALUAN ingin lahirkan?
Paling penting pekerja sosial ini ialah mereka yang bahagia melakukan kerja-kerja sosial, bukan pekerja sosial yang kerjanya sekadar makan gaji. Sebenarnya, apa yang kita ingin lahirkan ialah orang yang bersedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa. Maknanya, dia suka, gembira dan merasa begitu seronok membantu orang-orang yang memerlukan pembelaan.

Kita bukan hendak melahirkan pekerja sosial antara pukul 8 pagi hingga 5 petang. Itu perkara biasa…..sebaliknya petugas HALUAN yang mampu memberi khidmat kepada masyarakat 24jam tanpa mengira masa, dalam pelbagai bidang. InsyaAllah.

HALUAN sebagai alternatif. Jelaskan
Sekarang ini banyak NGO yang ada di negara ini. Di kalangan NGO ini, HALUAN belum ada tempat. Jadi, biarlah di kalangan NGO itu, salah satunya adalah HALUAN. Maknanya, HALUAN sudah merupakan satu alternatif yang ada di negara kita untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sebab itu, tumpuan HALUAN sekarang ini ialah kepada masyarakat, barulah kita dikenali oleh masyarakat dan menjadi NGO pilihan.

Sepuluh kualiti ahli yang Dr sebutkan dalam ucapan itu bukan perkara baru, malah sudah sinonim dengan HALUAN. Mengapa Dr merasai ia masih perlu ditekankan?
Ia adalah kualiti menyeluruh yang kita mahukan. Kita mahu ahli yang sihat tubuh badan, pemikiran, berilmu, berketerampilan, kuat beribadah, sejahtera akidahnya dan sebagainya. Kita mahu ahli yang baik dan boleh membaikkan orang lain. Bagus dan boleh membaguskan orang lain. Kita mahu lahirkan ahli yang akan menujudkan multiplier effect dalam masyarakat. Pokoknya kita mahu ahli HALUAN yang boleh, bersedia dan merasa lazat berkhidmat berkhidmat untuk kebajikan masyarakat, negara dan juga Islam.

Apakah hasil yang telah dicapai oleh HALUAN setakat ini dalam usahanya memberi khidmat kepada masyarakat?
Setakat ini HALUAN telah berjaya menubuhkan Komplek HALUAN Penyayang bagi menempatkan anak-anak yatim di Bukit Naga, Kelang, Selangor; memberi bantuan kepada fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan warga emas; mengadakan kelas/kem motivasi pelajar; menganjurkan seminar kekeluargaan dan keibubapaan; menghantar sukarelawan ke Acheh membantu mangsa Tsunami; menghantar sukarelawan ke Pakistan membantu mangsa gempa bumi; mengadakan Khidmat Masyarakat  dengan memberikan khidmat pelbagai dimensi termasuk khidmat kesihatan percuma, ceramah motivasi pelajar dan keluarga; menganjurkan Qurban untuk dihantar kepada golongan miskin di Acheh, Sri Lanka, Kampuchea, Orang Asli dan lain-lain.

Apa yang ingin Dr lihat dan harapkan akan berlaku pada HALUAN dalam tempoh 10 tahun akan datang?
Dalam masa 10 tahun, insya-Allah kita mengharapkan HALUAN sebagai arus yang boleh merubah masyarakat. Maknanya, HALUAN bukan lagi satu gerakan terpinggir, tetapi merupakan satu pertubuhan yang boleh dihubungi oleh masyarakat. Sekarang ini, kita masih lagi belum dapat memasyarakatkan HALUAN kerana ia hanya dikenali di tempat-tempat di mana kegiatan dijalankan saja. Jadi, dalam tempoh 10 tahun kita harapkan supaya kegiatan HALUAN dapat menembusi masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, khidmat masyarakat, kekeluargaan, motivasinya dan lainnya. Insya-Allah, dalam tempoh ini juga HALUAN akan lebih dominan.