fbpx

Mesyuarat Agung HALUAN Kali Ke-16

Mesyuarat Agung HALUAN Kali Ke-16

Mesyuarat Agung HALUAN Kali Ke-16

Assalamualaikum warahmatullah,

Pertama-tamanya marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana di atas keizinanNya dan limpah kurniaNya maka mesyuarat agong HALUAN kali yang ke 16 dapat diadakan.


Selawat dan salam kita tujukan kepada junjungan besar kita kekasih kita Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat. Rasulullah SAW yang merupakan rasul da’wah dan tarbiyyah. Peribadi Rasulullah SAW adalah peribadi contoh yang terbaik sepanjang zaman. Sebelum membicarakan dengan lebih lanjut lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran bariasan exco HALUAN sesi 2004/2005, para perwakilan seterusnya ingin mengucapkan jazakumullahu khairan kasira serta merakamkan jutaan terima kasih di atas komitmen dan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli HALUAN. Semoga pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang telah dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Sidang perwakilan yang di rahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya kita pada hari ini dan di saat ini sungguh bersyukur kepada Allah SWT kerana HALUAN terus hidup bahkan nampaknya semakin hari semakin matang dan mantap daripada pelbagai aspek. Masyarakat tempatan khususnya dan masyarakat antarabangsa amnya telah mula merasai kehadiran HALUAN sebagai sebuah pertubuhan yang sedia membantu kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Kita ingin jelaskan kepada seluruh manusia bahawa MENDIDIK dan BERBAKTI adalah objektif HALUAN MALAYSIA.

Kita juga mahu masyarakat kita memahami bahawa HALUAN adalah pertubuhan yang sama sekali menolak segala kepentingan diri, mengenepikan segala keuntungan duniawi malah mengenepikan segala keinginan dan kehendak peribadi. Kita adalah ahli-ahli HALUAN akan mengorak langkah menurut langkah-langkah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Kita tidak akan meminta apa-apa ganjaran dari manusia malah kita tidak akan meminta mereka membalas atau berterima kasih kepada kita. Ganjaran bagi segala usaha kita ini terserah kepada Allah SWT yang mencipta kita.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

Kita mahu supaya masyarakat kita memahami bahawa kita adalah ahli-ahli HALUAN, lebih kita sayangi mereka daripada kita sendiri. Demi kasih sayang kerana Allah SWT maka kita jadikan diri kita sebagai penebus semula maruah, harga diri, agama dan impian mereka. Rasanya terlalu sukar sekadar untuk melihat nasib yang menimpa masyarakat kita kemudian kita hanya berpeluk tubuh menerima segala penghinaan atau redha dengan kehinaan atau sekadar mendiamkan diri. InsyaAllah kita akan bekerja untuk kebaikan masyarakat lebih dari kepentingan diri kita sendiri. Tiada apa yang kita sumbangkan sebenarnya. Malah tidak pernah kita merasakan kita punyai apa-apa kelebihan. Sebaliknya kita yakin dengan apa yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran (al-Hujurat:17)

Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya)

Betapa kita mengharapkan agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada dalam hati-hati ini hanyalah kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan berkorban demi kepentingan mereka. Hanya Allah sahaja tempat kita mengharapkan segala pertolongan. Hanya Allah sahaja yang memimpin kita ke jalan yang betul. Terus terang saya katakan bahawa sudah tiba masanya kita sebagai anggota HALUAN mengetahui matlamat dan halatuju kemudian beramal mengikut halatuju ini sehingga tercapainya matlamat. Kelekaan, kealpaan malah berpeluk tubuh bukanlah sifat ahli-ahli HALUAN. Kita inginkan orang yang menyerahkan segala kemampuan yang dimiliki termasuk jiwa, harta, masa dan tenaganya.

Kita berkeyakinan Islam mempunyai pengertian yang luas. Islam mengatur seluruh hidup manusia. Islam memberikan jawapan kepada setiap perkara. Islam telah meletakkan satu sistem yang kemas dan rapi bagi setiap aspek. Malah Islam tidak pernah berpeluk tubuh dalam berhadapan dengan pelbagai masalah semasa. Justeru itu sedarlah wahai ahli HALUAN sekalian, memperdulikan permasalahan masyarakat adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

Sidang perwakilan yang dihormati sekalian,

Suatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, kesungguhan dan usaha adalah sifat-sifat istimewa yang perlu ada pada diri kita semua. Sebabnya asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan adalah jiwa yang suci, asas kesungguhan adalah keinginan yang kuat dan asas usaha adalah keazaman yang membara. Dengan ini bermakna kewajiban kita cukup banyak berbanding dengan masa yang kita ada.

Tanggungjawab kita adalah berat dan cukup besar dari apa yang telah kita tunaikan. Ini bermakna setiap detik memerlukan kita berfikir semasak-masaknya, berusaha lebih, menentukan pendirian malah terus mara sebagai penyelamat. Kita perlu tunaikan segala hak ummah dengan segala keistimewaan yang kita miliki sebagai anggota HALUAN MALAYSIA.

Setiap hari kita dibentangkan dengan berita-berita sensasi dan menyanyatkan hati seperti pembunuhan secara kejam yang semakin menjadi-jadi tanpa sebab yang munasabah, penyakit-penyakit kronik dan kritikal yang tidak mendapat sebarang pembelaan, kemiskinan sehingga melarat menjadi papa kedana, pendidikan yang tidak seimbang, jumlah graduan menganggur meningkat kepada 80,000 orang, gejala sosial dan gelombang maksiat yang berleluasa tanpa henti serta yang terkini mangsa ombak besar tsunami yang terhimpit dengan pelbagai masalah sehingga mengancam kesejahteraan aqidah. Anak-anak yatim dan ibu tunggal terbiar tanpa pembelaan sedang meraih simpati dan sumbangan di sana di sini. Institusi rumah tangga dan keluarga pula diancam dengan kepupusan kasih sayang antara suami isteri manakala anak-anak merderhakai ibubapa. Aras kemiskinan masyarakat bandar dan luar bandar masyarakat kita masih pula di takok yang lama dan entah bila akan berubah. Hutang berasaskan riba dihalalkan atas nama kebahagiaan dan kemudahan. Malah kita juga janganlah kita lupa bahawa saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afganistan, Chenhnya dan seluruh pelusuk dunia juga sedang berhadapan dengan pelbagai penindasan dan kezaliman antarabangsa yang sungguh menyedihkan. Pendek kata krisis demi krisis, kegawatan demi kegawatan serta bencana tidak kunjung padam akhir-akhir ini.

Perlu kita sedari bahawa krisis tersebut merupakan potret kegagalan umat yang berpunca dari kegagalan keluar dari pengaruh barat, kegagalan melaksanakan pendidikan keimanan dan moral, kegagalan melaksanakan kemajuan, kegagalan menciptakan keadilan sosial dan kegagalan menyatukan umat. Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita bahawa penyakit umat telah wujud dalam pelbagai keadaan dan telah menular ke setiap sudut hayat mereka. Di sudut politik umat ini telah dijajah oleh musuhnya. Dalam masa yang sama umat telah hidup dalam keadaan berpuak, bermusuh dan berpecah. Di sudut ekonomi amalan riba berleluasa di semua lapisan dan syarikat asing mengasai sumber kekayaan. Di sudut pemikiran timbul kekeliruan, kemurtadan dan amalan-amalan yang menggugat aqidah dan menghancurkan nilai-nilai yang baik dalam diri umat.

Di sudut sosial pula pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak serta tidak mahu terikat dengan mana-mana budaya baik yang mereka warisi daripada generasi lama. Sifat terikut-ikut dengan budaya barat juga telah menular dalam kehidupan seharian ibarat bisa ular ular yang meracuni darah. Begitu juga undang-undang ciptaan manusia yang tidak mampu menakutkan penjenayah.  Dasar pendidikan dan pelajaran telah gagal melahirkan generasi yang mulia dengan aqidahnya, ilmunya, ibadahnya dan akhlaknya. Dalam sudut kejiwaan, umat ini telah ditimpa penyakit lemah semangat, malas, penegcut, rendah diri, tamak dan pentingkan diri sendiri yang menyebabkan mereka tidak rela berkorban.

Walaupun masyarakat kita dihimpit dengan pelbagai krisis, namun ilmu dan pengetahuan, cara pemikiran semakin maju, harta semakin bertambah, dunia semakin canggih, kehidupan di dunia semakin indah dan menarik. Manusia makin mewah dan senang. Akan tetapi apakah semua ini membawa kebahagiaan kepada masyarakat? Apakah hidup mereka semakin aman dan jiwa mereka semakin tenang dan tenteram? Persoalannya, siapakah yang akan tampil kehadapan untuk memimpin, membela dan membantu mereka yang memerlukan bantuan kalau bukan anggota HALUAN.

Oleh itu, ahli-ahli HALUAN mestilah berperanan membawa keluar masyarakat yang kaku kepada masyarakat yang kembali bernafas, bersemangat, bercita-cita dan berwawasan, Allah menyatakan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi” (Al-Qasas: 5).

Ahli-ahli HALUAN mestilah berperanan membawa keluar masyarakat yang hina kepada  masyarakat yang bermaruah dan mengetahui harga diri. Ini bermakna kita perlu memartabatkan nilai-nilai yang baik dan menghapuskan nilai-nilai yang buruk, menyanjung tinggi akhlak yang mulia dan mengambil kira aspek akhlak dalam setiap perkara dan tindakan.

Sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekalian,

Ingin saya nyata di sini bahawa salah satu medan jihad dalam Islam adalah semangat yang kental merindui kegemilangan Islam, semangat yang membara untuk melihat kekuasaan Islam, menangis hiba kerana nasib yang menimpa umat Islam, kehinaan yang mereka alami, dukacita meratapi fenomena yang tidak diredhai oleh Allah SWT dan RasulNya Muhammad SAW. Malahan jiwa seorang muslim yang beriman pasti tidak akan meredhainya.

Sabda Rasulullah SAW:

Orang yang tidak mengambil berat nasib umat Islam bukanlah dia dikalangan mereka

Kata penyair:

Hancur luluh hati ini sedih melihat keadaan ini itupun kalau hati ini masih memiliki Islam dan Iman

Mereka yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin malah takut dan bimbang yang tak tentu arah ibarat seorang lelaki yang menyiapkan pedang yang tajam, tombak yang berkilauan, dan pelbagai senjata lain, kemudian setiap malam melihat kesemua senjata ini sambil menunjukkan rasa kesalnya kerana tiada sebarang musuh pun dihadapannnya untuk dia memperlihatkan kehebatan dan keberaniannya. Lantas isterinya cuba menguji kesungguhannya. Suatu malam si isteri mengejutkan suaminya sambil menjerit meminta tolong , “Bangun, bang kita telah diserang seekor kuda. Lantas lelaki itu terjaga ketakutan dengan muka yang pucat dan menggigil sambil mulutnya tak henti-henti menyebut kuda, kuda”. Itu sahaja dilakukannya tanpa cuba menyelamatkan diri. Menjelang pagi, lelaki ini sudah tidak tentu arah akibat ketakutan walaupun dia tidak berhadapan dengan musuh maupun melihat musuh.

Sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekalian,

Kita sedang berada dalam satu perhimpunan yang saya anggap sebagai perhimpunan keluarga yang menggabungkan seluruh anggota HALUAN dari segenap pelusuk negara. Jadi saya ingin berterus terang dengan sidang perwakilan kerana tiada guna lagi saya berselindung. Medan bercakap tidak sama dengan medan berkhayal. Medan beramal tidak sama dengan medan bercakap. Medan jihad tidak sama dengan medan beramal manakala medan jihad yang hakiki tidak sama dengan medan berjihad palsu. Ramai yang mudah berkhayal namun tidak semua apa yang terbayang mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ramai yang mampu bercakap namun hanya segelintir daripadanya yang mampu bersabar ketika beramal. Ramai dikalangan segelintir ini mampu beramal namun hanya segelintir sahaja dikalangan mereka yang mampu memikul beban jihad yang sukar dan amal yang nekad. HALUAN memilih aspek praktikal berbanding dengan aspek slogan mahupun propaganda. HALUAN meletakkan keutamaan ini kerana ianya adalah tuntutan dari Allah SWT dan RasulNya Nabi Muhammad SAW.

Justeru itu pada sesi 2004/2005;

  1. Kelab Kesihatan HALUAN telah mula menapak di dalam masyarakat. Masyarakat menyambut baik usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Biro Kesihatan HALUAN.
  2. Biro pendidikan pula telah mulai mendapat tempat dalam masyarakat. Hampir 25 aktiviti utama termasuklah ceramah, seminar, kem dan kelas bimbingan telah dijalankan dengan jayanya. Idea-idea yang diketengahkan cukup unik, menarik  dan berkesan sehingga semua lapisan samada ibubapa, anak-anak, guru-guru,  kakitangan kerajaan maupun swasta menerimanya dengan hati yang terbuka.
  3. Biro ekonomi dengan jayanya melancarkan HALUAN Charity Shop di mana mendapat sambutan yang hangat dari masyarakat tempatan maupun masyarakat luar.
  4. HALUAN juga tidak ketinggalan mendapat sokongan padu dari golongan pemuda yang sedang bergerak aktif mendekati remaja di sana sini. Peribadi dan potensi yang ditunjukkan oleh pemuda benar-benar memberi nafas baru bahawa HALUAN akan terus menyumbang bakti kepada masyarakat dan insyaAllah sama sekali tidak akan mengalami kepupusan dan ketandusan barisan pemimpin di masa hadapan. Pemuda adalah pelapis dan harapan HALUAN.
  5. Sungguh nyata dengan izin Allah SWT bahawa HALUAN bukan sahaja diterima oleh masyarakat di Malaysia malah di terima di peringkat antarabangsa. Di saat dan di ketika ini, beberapa anggota HALUAN sedang bersiap sedia untuk berangkat pergi ke Aceh dalam Misi Kemanusiaan Aceh (MKA) dan sebilangan yang lain sedang melakukan persiapan berangkat pulang ke tanahair. Sebahagian yang lain sedang menunggu giliran untuk menyertai Misi Kemanusiaan Aceh. Pengalaman sebegini sungguh bermakna bagi HALUAN.

Sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekalian,

Nilai yang kita sedang perjuangkan adalah nilai yang baik dan betul, langkah yang dipuji oleh Allah SWT, RasulNya dan orang-orang beriman. Oleh itu teruskanlah, apa yang saudara-saudara lakukan adalah tidak salah. Cuma kita sebagai anggota HALUAN perlu mengambil perhatian kerana misi dan visi HALUAN memaksa kita semua menjangkaui sempadan yang sempit kepada medan amal yang lebih luas. Ingatlah bahawa kita sedang mencari keredhaan Allah dan berharap semoga memperolehi ganjaran serta redhaNya. Semua itu kita akan nikmati sekiranya kita benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Kita sama sekali tidak akan dipersoalkan tentang hasil uasaha kita sebalik Allah SWT menuntut agar kita sentiasa jujur dalam halatuju dan benar-benar membuat persiapan. Bekerjalah, Allah bersama kita. Allah tidak akan mensia-siakan amalan kita dan kejayaan hanyalah untuk orang-orang yang bekerja.

Saya inginkan tuan-tuan mengetahui bahawa kita tidak pernah berputus asa. Malah kita mempunyai cita-cita yang besar dan kita yakin tiada yang dapat menghalang kita mengecapi kejayaan selain rasa putus asa. Kita mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kita pasti mencapai kejayaan dengan izin Allah SWT. Syukur kepada Allah kita tidak pernah berputus asa menggerakkan HALUAN dan hati-hati ini tidak pernah diulit rasa putus asa. Segala yang berlaku disekeliling kita memberikan kita harapan walaupun ada yang bersikap pesimis. Yakinlah pertolongan Allah pasti turun walau apa sekalipun rintangan yang menimpa.

Saya selaku presiden HALUAN MALAYSIA sesi 2004/2005 merakam setinggi-tinggi syabas dan tahniah di atas kesungguhan barisan exco dan seluruh ahli-ahli HALUAN yang telah berusaha bertungkus lumus demi menjayakan sebarang aktiviti yang telah dirancangkan.

Sekian wassalam.

DR. ABDULLAH SUDIN
PRESIDEN HALUAN MALAYSIA