fbpx

Penyelidikan Modal Insan mesti berteraskan tauhid

Penyelidikan Modal Insan mesti berteraskan tauhid

Penyelidikan Modal Insan mesti berteraskan tauhid

BANGI, 6 Oktober, 2010 – Penyelidikan modal insan mestilah berteraskan kepada tauhid, berkait rapat dengan apa yang ada di sekeliling kita dan dilakukan secara kerjasama.


Demikian menurut Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman dalam ucapan penutup Seminar Modal Insan (SEMAI) ke-2 di Kelab Golf Danau UKM pagi tadi.

Seminar selama dua hari yang bertemakan ‘Pelestarian Modal Insan Menangani Cabaran Global’ ini dihadiri oleh 50 orang peserta dan pembentang kertas kerja daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi tanahair.

Sebanyak 32 kertas kerja dalam bidang berkaitan modal insan telah dibentangkan sepanjang seminar ini.

Upacara penutup seminar telah disempurnakan oleh Presiden HALUAN yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim (KTD,) Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman. Dalam ucapannya, Dr Abdullah Sudin menekankan bahawa pembangunan modal insan yang sebenarnya mestilah berteraskan kepada tauhid. Justeru itu, setiap penyelidikan berkaitan modal insan hendaklah dilakukan dalam mengambil kira keadaan atau persekitaran yang ada di sekeliling. Usaha-usaha pembangunan modal insan harus dilakukan secara kerjasama yang erat. “Tidak ada siapa yang lebih hebat dari yang lain, kita semua perlu sinergi dalam usaha mencapai cita-cita murni ini,” ujar Dr Abdullah Sudin. “Semoga hasilan seminar ini boleh memberi manfaat kepada pembuat dasar,” sambung beliau lagi.

Majlis penutup seminar turut dihadiri oleh Penasihat SEMAI 2, Prof Madya Dr Nik Mu’tasim Abd Rahman, Pengerusi Akademi Penyelidikan HALUAN, Dr Ismail Ahmad, dan Yang Dipertua HALUAN Johor, Prof Sr Dr Abd Hakim Mohamad.

SEMAI 2 telah dijayakan hasil kerjasama Akademi Penyelidikan Haluan (APH) dengan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM.) SEMAI 3 akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan.