fbpx

Penyampaian Sumbangan Yayasan Hasanah

Penyampaian Sumbangan Yayasan Hasanah

Penyampaian Sumbangan Yayasan Hasanah

SHAH ALAM, 28 Jan 2022 – Seramai 419 orang pelajar telah menerima bantuan wang tunai sebanyak RM100 beserta buku kerja dan alatan tulis.

Mereka yang telah menerima bantuan terdiri daripada pelajar yang terkesan akibat banjir besar yang melanda daerah di Selangor Januari lepas merangkumi pelajar Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Sekolah Menengah Ibn Khaldun, Sekolah Rendah Islam Ibnu Khaldun dan Sekolah Rendah Ibnu Abbas.

Sumbangan daripada Yayasan Hasanah itu telah disampaikan oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dalam dua majlis berasingan.

Acara pertama diadakan pada 28 Januari lepas di SMIK Shah Alam. Turut hadir bersama Naib Presiden 4 (Kluster Kebajikan & Kemanusiaan), Dr. Baharuddin Suri, dan Naib Presiden 6 (Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga), Dr Zurina Muda. Ucapan aluan telah disampaikan oleh guru besar Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Encik Abd Halim Jayalani.

Seramai 20 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun telah mewakili 148 orang pelajar yang terjejas akibat banjir. Mereka diiringi oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Cikgu Hairani Samsudin dan Guru Setiausaha Badan Kebajikan Murid, Cikgu Siti Marzanah Mohd Tawil.

Acara kedua telah diadakan pada 29 Januari di Sekolah Rendah Ibnu Abbas. Turut hadir dalam majlis ialah Penasihat HALUAN PAHANG, Encik Mohd Ghani Salleh.

Ucapan aluan telah disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Ibnu Abbas, Ustaz Mohammed Suffian Abdul Aziz.

Presiden HALUAN merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penderma yang telah menyumbang dan memberikan kepercayaan kepada HALUAN sebagai saluran menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Dr. Abdullah juga mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Hasanah yang telah memberikan sumbangan secara khusus untuk pelajar-pelajar sekolah yang terjejas selain sumbangan peralatan operasi bantuan.

Beliau memberi nasihat kepada pelajar-pelajar agar sentiasa mengamalkan sikap seperti yang dinyatakan dalam al Quran yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”

Beliau berpesan agar mereka menjadi manusia yang boleh menyumbangkan kebaikan kepada kedua ibubapa, masyarakat, negara dan akhirnya menjadi manusia yang boleh dimanfaatkan oleh Islam kerana Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Katanya lagi, “Hakikat pendidikan sebenarnya ialah menjadi cerdik dan mengenali Allah sebagai tuhan yang disembah (illah) dan Rab (pemerintah).Menjadi cerdik tanpa mengenali dan taat kepada Allah adalah tidak mencapai maksud mengapa manusia itu dijadikan.”

Dr. Abdullah menekankan supaya pelajar berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan. Namun segala usaha dan hasil kejayaan hendaklah dipastikan mengikut garis panduan syarak supaya segala amal dan hasil ini diganjari pahala. Hakikat kebahagian sebenarnya adalah apabila kita dapat hidup bahagia di akhirat kelak, ujarnya lagi.

Yayasan Hasanah terbit sebagai yayasan penjana geran bebas pada 1 Julai 2015, dengan matlamat untuk mewujudkan impak yang lebih besar yang melengkapkan usaha Khazanah untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing global.

Sebagai konvenor, kolaborator dan pemangkin perubahan, Hasanah menumpukan perhatian kepada masyarakat dan isu sosial yang mendesak dalam negara, menghimpunkan penggubal dasar, organisasi masyarakat sivil, syarikat dan komuniti tempatan untuk membawa impak kolektif kepada rakyat dan alam sekitar.


Laporan: Mohd Jamil Bin Muda, Pengarah Operasi Bantuan MTL

Photo: Muhammad Hasan Ahmad Bahari / Amirah Arbaayah