fbpx

Penduduk Pangsapuri Terima Bantuan HALUAN Selangor

Penduduk Pangsapuri Terima Bantuan HALUAN Selangor

Penduduk Pangsapuri Terima Bantuan HALUAN Selangor

KOTA KEMUNING, SHAH ALAM 12 Apr 2020 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi pelbagai kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat. PKP dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan mengawal dan mencegah wabak COVID-19 yang sedang melanda negara serta dunia umumnya ketika ini. Keadaan ini menyebabkan situasi yang tidak seperti biasa, pergerakan terbatas, tidak boleh berkerja, terganggu pendapatan bagi sesetengah keluarga dan pelbagai keadaan yang di luar jangkaan.

HALUAN cawangan Selangor prihatin dan telah mengambil inisiatif menghulurkan beberapa keperluan asas kepada penduduk Pangsapuri Sri Kemuning di sini. Sumbangan telah disampaikan oleh YDP HALUAN Selangor, Encik Hamdan Mokhtar kepada warga tempatan, warga asing dan anak yatim di kawasan tersebut. Turut sama adalah para anggota HALUAN, HALUANITA, Pemuda dan Siswa HALUAN.

Barangan yang dihulurkan berupa beras, minyak masak, telur, mi segera, teh dan gula. Bekalan barangan tersebut telah diuruskan oleh Koperasi Pembangunan Penduduk Jalan Kebun Shah Alam (KOPSEL) melalui IBN KHALDUN MART yang terletak di deretan kedai di Jalan Kebun.

Wakil penduduk serta Ahli Jawatankuasa Penduduk, Encik Tarmizi Abdullah telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada HALUAN Selangor atas sumbangan yang diterima. Beliau turut berbangga dengan kehadiran sebuah NGO Islam yang banyak membantu rakyat Malaysia di setiap ketika.

Katanya, “Bantuan ini amat bermakna kerana ada sahaja keluarga penduduk kami di sini yang sangat terjejas disebabkan arahan PKP ini. Kami bersyukur atas kurniaan Allah ini, dan turut mendoakan agar kita semua beroleh redha Allah SWT dan diganti dan diganjari dengan limpah kurnia yang lebih baik dan penuh keberkatan.”


Laporan Amirul Anuar Azman, SUK HALUAN Selangor