fbpx

Pendidikan Awal Kanak-kanak Warnai Konvensyen Wanita HALUAN

Pendidikan Awal Kanak-kanak Warnai Konvensyen Wanita HALUAN

Pendidikan Awal Kanak-kanak Warnai Konvensyen Wanita HALUAN

PUTRAJAYA, 30 November 2015 — Konvensyen Wanita HALUAN 2015 yang berlangsung pada 21–22 November lepas menghidangkan kelainan. Ia mengimbau peserta tentang kepentingan penghayatan Al-Fatihah dalam kehidupan, sesuatu yang lumrah tetapi tidak di segi penerapan harian.

Konvensyen mengajak peserta serta masyarakat amnya agar melahirkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah bersesuaian tema sambutan kali ini iaitu “Keluarga Rabbani, Keluarga Bahagia”. Program anjuran Biro HALUANITA dengan kerjasama Masjid Putra, Putrajaya itu disertai 300 peserta wanita dan 30 peserta lelaki dengan kemuncaknya pada hari Ahad.

Hari Sabtu telah dikhaskan untuk meraikan guru-guru yang mengikuti modul Little ‘Abd Programme dari seluruh negara.

Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman. Beliau menegaskan bahawa pendidikan anak-anak perlu dititikberatkan bermula daripada ibu bapa yang wajib memberikan pendidikan agama yang terbaik.

“Dengan adanya agama dalam diri anak-anak, insyaAllah mereka akan berjaya dalam apa jua bidang yang mereka cemburi. Pembangunan sistem pendidikan awal kanak-kanak “Little ‘Abd Programme ini sangat penting dan semoga usaha-usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dalam persediaan kita mendidik generasi pewaris dalam menghadapi cabaran pendidikan negara masa kini,” jelas beliau.

Konvensyen Wanita ini turut dihadiri beberapa tetamu kehormat antaranya Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Manaf Mat dan Ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan.

Aktiviti yang dilaksanakan oleh LAP termasuklah bengkel asas nasyid tadika Little ‘Abd Programme, pertandingan persembahan guru-guru LAP dan Halaqah Al-Quran. Guru-guru didedahkan dengan nasyid-nasyid tema berbentuk ubudiyah yang perlu diterapkan di tadika masing-masing.

Pertandingan Nasyid telah disertai oleh lapan kumpulan dan pemenang pertama disandang kumpulan Tadika Al-Hilal, Kelantan, tempat kedua oleh kumpulan tadika Ummi dari Kedah dan tempat ketiga oleh Tadika Tarbawi dari Shah Alam. Selepas maghrib program diteruskan dengan Halaqah Al-Quran di kalangan peserta dan mereka beri’tikaf di masjid.

Setelah tamat ucapan perasmian dan tayangan video, presiden telah menyampaikan sijil kepada 35 orang guru-guru tadika berkenaan yang telah tamat mengikuti Kursus-Guru-Guru Tadika Modul Little ‘Abd Programme dari tema 1 hingga tema 4 untuk sesi 2014/2015. Seterusnya hadiah disampaikan kepada tadika terbaik yang menggunakan modul Little ‘Abd Programme. Tempat. pertama dimenangi oleh Tadika Raudhah Ibn Khatir Gombak, kedua oleh Tadika Genius Aulad, Johor, dan tempat ketiga dimenangi oleh Tadika Smart Top, Johor.

Konvensyen dimeriahkan dengan ceramah oleh pengasas Modul Little ‘Abd Programme, Encik Rosdi Baharom dari Tadika Alim Cerdik. Dalam penyampaiannya yang bertajuk “Dalam Oasis Sakinah Imaniyah (Peta Langkah Pembentukan Baitul Muslim),” beliau menegaskan tiga projek penting dalam kehidupan berumah tangga.

Pertama adalah membina diri menjadi hamba yang memiliki sebanyak mungkin sifat ‘badur Rahman. Kedua, membangun keluarga yang dicintai Allah dan mencintai kerana Allah, dan ketiga membangun masyarakat mengikut acuan Al-Quran.

Katanya: “Proses pentarbiyahan yang betul akan melahirkan taqwa yang digambarkan sebagai rasa takut kepada Allah SWT dan sentiasa berhati-hati terhadap ketetapan Allah dan bimbang akan timbulnya kemurkaan Allah dalam urusan kehidupan, terutama sekali dalam memenuhi hak-hak Allah dan hak mereka di bawah tanggungjawabnya.”

Resolusi Konvensyen Wanita telah dibentangkan oleh Puan Sumaiyah Abdullah


Laporan Ummu Hani Mohd Nasaruddin , SUK Biro HALUANITA