fbpx

HALUAN Pahang Raih Anugerah Gerai Pameran Terbaik NGO

HALUAN Pahang Raih Anugerah Gerai Pameran Terbaik NGO

HALUAN Pahang Raih Anugerah Gerai Pameran Terbaik NGO

KUANTAN, 1 Dis 2015 — Sempena Sambutan Maal Hijrah 1437 yang lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang telah menganjurkan Karnival Muhibbah dan Ukhuwah pada 14 dan 15 Oktober yang lepas bertempat di perkarangan bangunan UTC Kuantan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adab Resam Negeri Pahang, YH Dato Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Karnival selama dua hari ini telah dimeriahkan beberapa aktiviti dan program yang menarik termasuklah forum agama, seni hiburan Islam, pertandingan futsal, ziarah mualaf, gerai jualan dan pameran agensi serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

HALUAN Pahang turut dijemput menyertai program yang diadakan ini termasuklah ziarah dan jejak kasih saudara baru (mualaf) serta pameran NGO. Melalui gerai pameran yang diadakan, secara langsung pihak HALUAN telah berjaya memperkenalkan misi dan visi serta aktiviti HALUAN kepada pengunjung yang hadir. Di samping dapat mendaftarkan para pengunjung yang berminat untuk bersama HALUAN bagi menjalankan kerja-kerja kesukarelawan dan kebajikan.

Penyusunan gerai yang menarik dan paparan yang berinformasi serta layanan mesra ahli serta petugas HALUAN, telah berjaya menarik perhatian pihak urusetia Jabatan Agama Islam untuk membuat penilaian gerai NGO yang terbaik sepanjang karnival berlangsung.

Selesai karnival suatu majlis penghargaan JAIP kepada semua pihak yang terbabit menjayakan program ini yang telah diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1. Sehubungan dengan itu, pihak HALUAN Cawangan Pahang telah dipilih bagi memenangi anugerah khas kategori Gerai Pameran Terbaik NGO.

Anugerah ini telah disampaikan oleh Pengarah JAIP, YH Dato’ Mohd Nor Abd Rani kepada wakil HALUAN Pahang Encik Abd Bashir Abd Ghani.

Menurut Encik Abd Bashir, anugerah ini telah menyuntik semangat ahli HALUAN Pahang untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat yang memerlukan disamping akan sentiasa memberi kerjasama padu kepada usaha dan program pihak berkuasa agama Negeri Pahang dalam memajukan ummah dan meningkatkan syiar Islam di negeri Pahang Darul Makmur ini. HALUAN Pahang merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu HALUAN menjayakan program Karnival ini.


Laporan Biro Penerangan HALUAN Pahang