fbpx

Pelajar Sekolah Agama Terima Sumbangan Wang

Pelajar Sekolah Agama Terima Sumbangan Wang

Pelajar Sekolah Agama Terima Sumbangan Wang

TEMERLOH, 11 Feb 2022 – Seramai 107 pelajar Sekolah Rendah Agama Islam At-Taqwa, Temerloh, Pahang yang terkesan banjir gembira dan bersyukur selepas menerima sumbangan daripada HALUAN dalam majlis sederhana di pekarangan sekolah mereka semalam.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden 4 (Kluster Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN), Dr. Baharudin Suri disaksikan oleh Guru Besar, Ustaz Khairul Azwan Zamri.

Dana bantuan ini merupakan hasil sumbangan daripada NGO Dompet Dhuafa dan Rumah Zakat berupa wang tunai bagi membiayai perbelanjaan persekolahan harian serta pembelian kelengkapan persekolahan. Dua NGO dari Indonesia ini merupakan ahli SEAHUM, atau Southeast Asia Humanitarian Committee, sebuah gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari pelbagai negara ASEAN.

Ustaz Khairul Azwan dalam ucapan aluannya berkata, “Saya amat berterima kasih kepada NGO HALUAN atas sumbangan berterusan yang diberikan kepada sekolah dan pelajar-pelajar terlibat yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.”

“Saya sering mengingatkan para pelajar agar mencontohi sukarelawan HALUAN yang sentiasa ringan tulang dan prihatin kepada mereka yang ditimpa musibah.” ujar beliau lagi.

HALUAN dalam siri bantuan Monsun Timur Laut yang lalu telah beberapa kali menyalurkan bantuan di sekolah berkenaan termasuklah menjalani aktiviti agihan makanan, pembersihan hingga mengecat bilik kelas yang terlibat.

Dr. Baharudin sempat menyampaikan kata-kata semangat kepada para pelajar supaya sentiasa berusaha bukan sahaja untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi juga cemerlang dalam akhlak dan kepribadian.

“Jadikanlah musibah banjir yang menimpa sebagai ujian dari Allah, agar kita semua sentiasa bersyukur dan taat kepada perintah Allah SWT.” jelas beliau.

Turut bersama semasa majlis berkenaan adalah Ketua Biro Kebajikan HALUAN Pahang, Mohd Yusri Othman dan Timbalan Yang Di-Pertua HALUAN Pahang, Sabaruddin Mohamed Alias.


Laporan mediaHALUAN